SMK St John Kembali Nama Asal St John Institution

Diterbitkan: Sabtu, 23 April 2016 4:42 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: SMK St John di Jalan Bukit Nanas dikembalikan kepada nama asal, St John Institution.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang membuat pengumuman itu pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik di sekolah berkenaan bertitah, nama asal dihargai setiap 'Johannian' (alumni St John Institution).

"Setiap 'Johannian' merasakan sesuatu bernilai hilang apabila nama sekolah ini ditukar.

"Mereka menyuarakan harapan agar nama yang asal dikekalkan. Alhamdulillah, ia mendapat maklum balas positif," titah baginda yang pernah belajar di sekolah itu dari 1969 sehingga 1970.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiada masalah sekiranya sekolah berusia 112 tahun itu dikembalikan nama asalnya.

Pengetua sekolah, Dr Puvanendran V. Maruthavanar berkata, ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan kepada sekolah dengan dipanggil semula sebagai St. John Institution.

Resolusi mengenai perubahan nama itu diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah itu dua bulan lalu.

"Tiada bantahan, malah alumni datang dan meminta pertukaran itu," katanya.

Antara bekas pelajar St John Institution ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan adiknya, Datuk Seri Nazir Tun Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.


Tags / Kata Kunci: St John Institution , SMK St John

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan