Debat: Saya Akur Nasihat KPN, SPRM - Rahman Dahlan

Diterbitkan: Sabtu, 23 April 2016 5:32 PM

Abdul Rahman Dahlan.

(Ubah saiz teks)

KOTA BELUD: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau tidak meneruskan hasrat berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana akur dengan nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya, ini kerana beliau tidak mahu memberi isyarat atau mesej tidak baik kepada rakyat terutama sekali berkaitan pematuhan kepada arahan dan nasihat pihak berkuasa.

"Saya terpaksa akur kerana saya adalah ahli Jemaah Menteri. Atas kapasiti saya sebagai menteri, saya tidak mahu memberi isyarat kepada rakyat bahawa saya tidak mengikut arahan atau nasihat SPRM dan Ketua Polis Negara. 

"Ingin saya tegaskan saya tidak pernah lari daripada debat. Saya sudah berdebat dengan ramai pemimpin pembangkang. Soal takut tu tidak. Malah saya sudah bersedia, saya sudah lama bersedia. Saya tidak mahu memberi gambaran atau isyarat kepada rakyat bahawa kalau menteri sendiri tidak mendengar nasihat KPN, apatah lagi rakyat biasa," katanya.

Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri sesi perbincangan isu-isu semasa dan tempatan bersama pemimpin-pemimpin masyarakat Kota Belud di Tapak Tamu, Kampung Pandasan di sini, Sabtu.

Berikutan perkembangan itu, Abdul Rahman menggesa Lim supaya tidak lagi berlengah sebaliknya perlu segera memberi jawapan dan keterangan kepada SPRM dan pihak polis berhubung isu pembelian banglonya dan tanah di Kampung Manggis seperti diminta pihak berkuasa.

Beliau berkata, kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Lim tidak boleh memandang remeh isu berkenaan dengan memberi jawapan-jawapan yang tidak konsisten kepada rakyat.

Katanya, isu itu banyak berkait dengan rakyat miskin dan terpinggir di Pulau Pinang yang ditadbir DAP dan Ketua Menteri perlu memberi kerjasama dan jangan melengahkan jawapan yang ditagih oleh rakyat terhadap beberapa isu yang dibangkitkan oleh Barisan Nasional (BN), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa pemimpin DAP sendiri.

Abdul Rahman mengingatkan Lim bahawa semasa Pilihan Raya Umum 2008, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berjanji akan menyelesaian masalah harga rumah, masalah kesesakan lalu lintas, tidak akan jual tanah sebagai mengkritik BN pada ketika itu kerana menjual tanah kerajaan dan menjalankan projek tambakan laut.

"Kita nak tanya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang sama ada isu itu selesai atau tidak selepas lapan tahun menjadi ketua menteri. Apa yang kita dengar masalah itu tidak selesai. Harga rumah di Pulau Pinang masih lagi tinggi melambung, penambakan laut berleluasa, pembangunan di lereng bukit masih berlaku, kerosakan kepada warisan dan alam sekitar masih berleluasa," katanya.

Malah, kata Abdul Rahman peranan NGO di negeri berkenaan terutama yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan kepenggunaan tidak didengari oleh kerajaan negeri.

"Jangan cepat sangat (menyalahkan BN). Selepas diasak oleh rakyat, selepas lapan tahun menjadi ketua menteri, masih lagi menggunakan alasan bahawa ini adalah masalah kerajaan dahulu. Ini adalah perbuatan yang pada pandangan saya tidak bertanggungjawab. Ambillah tanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Pulau Pinang," tegas beliau. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Abdul Rahman Dahlan , Lim Guan Eng

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan