Sisa Minyak Hitam Di Pantai Beserah Dibersihkan

Diterbitkan: Jumaat, 22 April 2016 4:29 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Sisa minyak hitam yang ditemui di sepanjang pesisiran Pantai Beserah sejak Rabu lepas, mula dibersihkan hari ini oleh agensi berkaitan sambil dibantu penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pantai Beserah Azmi Mohamad, 67, berkata lebih 500 orang terlibat dalam gotong royong membersihkan sisa berkenaan sejak 8.30 pagi hingga tengah hari Jumaat.

Menurutnya antara agensi yang terlibat dalam kerja pembersihan itu adalah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan dan Alam Flora.

"Semua sisa minyak yang ditemui sebelum ini telah berjaya dibersihkan sepenuhnya tengah hari tadi hasil kerjasama penduduk serta agensi kerajaan dan ia turut melibatkan penggunaan beberapa jentera berat.

"Bagaimanapun, difahamkan masih ada sisa tompokan minyak itu di tengah laut dan kita berdoa agar ia tidak dihanyutkan ke pantai ini sekali lagi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, Jumaat.

Rabu lepas, penduduk di sekitar Kampung Pantai Beserah digemparkan dengan penemuan sisa minyak hitam seakan-akan tar di sepanjang hampir 10 kilometer di pesisiran pantai berkenaan.

Berikutan itu, JAS Pahang telah mengambil sampel minyak berkenaan untuk dianalisis dan keputusannya dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.

Tags / Kata Kunci: Pantai Beserah , Minyak Hitam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan