Kejayaan Bersemuka Di Meja Rundingan - Pegawai Tinggi Thai

Diterbitkan: Jumaat, 22 April 2016 6:44 PM

Aksara Kerdphol

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Walaupun rundingan damai selatan Thai hanya mencapai sedikit kejayaan setakat ini, namun kesanggupan pihak kerajaan Thailand dan puak militan untuk duduk bersama di meja rundingan boleh dianggap sebagai satu kejayaan, ulas pegawai tinggi kerajaan.

Ketua pasukan rundingan kerajaan, Jen Aksara Kerdphol berkata rundingan yang di mana Malaysia memainkan peranan utama berjalan lancar walaupun memerlukan lebih masa untuk membuahkan hasil.

Beliau berkata kedua-dua pihak mahu mencapai penyelesaian terbaik dengan mahu berunding dan mencari cara menangani keganasan.

"Yang penting kami (kerajaan dan kumpulan militan) masih berbincang. Ini satu kejayaan, namun prosesnya memerlukan lebih masa untuk mencapai matlamat (mengakhiri konflik).

"Kami berbincang dengan pandangan yang berbeza. Jadi ia bukan mudah, tapi kami masih berbincang," katanya kepada Bernama.

Aksara, bekas ketua lembaga penasihat tentera dan dilantik sebagai menteri oleh Perdana Menteri, Jen Prayuth C`han-o-cha untuk mengetuai rundingan damai berkata proses damai masih pada peringkat membina keyakinan.

Kerajaan Thai terlibat dalam perbicangan tidak formal dengan Mara Patani (Majlis Syura Patani), iaitu kumpulan yang menghimpun pelbagai kumpulan militan di selatan Thailand.

Kedua-dua pihak telah mengadakan rundingan teknikal sejak lebih setahun lalu dengan pusingan seterusnya dijangka diadakan di Kuala Lumpur dalam minggu-minggu mendatang.

Menurut Aksara, apa pun kesukaran yang bakal dihadapi, kedua-dua pihak perlu yakin dan bersabar kerana masalah yang dihadapi adalah kompleks.

"Selagi rundingan berjalan, masih ada harapan untuk perdamaian," kata bekas jeneral ini.

Beliau berkata penduduk tempatan sudah bosan dengan keganasan dan mahu ia dihentikan dengan turut mengadakan majlis memohon doa secara besar-besaran.

"Ramai yang tidak bersetuju dengan keganasan," katanya dan menggesa semua pihak agar mengutuk keganasan.

Askara berkata angka keganasan di selatan Thai tahun lalu adalah paling rendah sejak konflik berterusan 12 tahun lalu.

Beliau berkata rundingan antara kedua-dua pihak sedang meneroka kepada cadangan mewujudkan 'zon khas' sebagai model untuk mengurang keganasan.

Pihak militan masih berbincang mengenai cadangan itu, katanya.

Di pihak kerajaan pula, mereka mempertimbang untuk menarik balik penempatan tentera sekiranya keadaan bertambah baik seperti yang juga termaktub dalam pelan rundingan damai, katanya.

Beliau menjelaskan penempatan tentera adalah untuk menjaga keselamatan rakyat dan bukan untuk menindas.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Aksara Kerdphol , Thailand , Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan