PTPTN Jangka Jumlah Bayaran Balik Pinjaman Meningkat - Berita Semasa | mStar

PTPTN Jangka Jumlah Bayaran Balik Pinjaman Meningkat

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 2:03 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jumlah kutipan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tahun ini dijangka meningkat kepada RM2 bilion, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata bagi meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman, PTPTN melaksanakan pelbagai program antaranya kempen kesedaran, pemberian insentif bayaran balik, tindakan penguatkuasaan dan potongan gaji.

"Pada 2015 PTPTN berjaya membuat kutipan bayaran balik sebanyak RM1.4 bilion iaitu hampir dua kali ganda daripada sasaran yang diletakkan iaitu RM750 juta," katanya pada sesi soal-jawab di persidangan Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Mohd Salim Sharif yang ingin tahu jumlah pinjaman PTPTN yang tertunggak sehingga kini.

Idris berkata pada tahun ini, PTPTN turut mencatatkan kutipan pembayaran balik pinjaman melebihi RM200 juta sebulan dan pada bulan lepas nilai kutipan adalah RM237.4 juta.

Idris berkata sehingga 29 Feb 2016, seramai 661,262 peminjam masih gagal  membuat bayaran balik melibatkan jumlah tertunggak sebanyak RM5.4 bilion.

"Bagaimanapun melalui tindakan penguatkuasaan dan penstrukturan semula hutang, jumlah hutang tertunggak itu dijangka berkurangan berikutan peningkatan jumlah peminjam yang membuat penyelesaian hutang dan bayaran balik melalui potongan gaji," katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan