"Bukan Sebab Tekanan Politik" - Mueller

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 12:03 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd (MAS) Christoph Mueller pada satu taklimat sesi 'townhall' memberitahu bahawa keputusannya meninggalkan syarikat penerbangan itu bukan kerana tekanan politik atau tugas memulihkan syarikat itu terlalu besar baginya.

Beliau merumuskan keputusannya itu dengan menyatakan bahawa pemergiannya adalah disebabkan 'alasan peribadi' dan menyifatkan keputusannya itu sebagai sesuatu yang akan menjejaskan kelayakan dirinya dan keseimbangan simpanannya.


Beliau berkata semua khabar angin mengenai keputusan yang dibuatnya adalah tidak benar dan alasan pemergiannya menjadi terlalu peribadi sehingga beliau membuat keputusan ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan dengan terperinci apakah sebab-sebab peribadi itu dan berharap semua orang memahaminya.

Mueller mengejutkan komuniti penerbangan global pada Selasa dengan keputusan peletakan jawatan dari kerusi panas di MAS.

Beliau telah dipilih oleh Khazanah Nasional Bhd untuk membantu memulihkan syarikat penerbangan yang berdepan masalah itu lebih setahun yang lalu.

Beliau meninggalkan MAS dua tahun lebih awal daripada kontrak tiga tahunnya, walaupun menyertai syarikat penerbangan itu empat bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Mueller berharap beliau dapat kekal dalam ahli lembaga MAS sebagai pengarah bukan eksekutif untuk melihat peralihan yang berlaku sebelum pemimpin baharu dilantik.

Difahamkan, sesi 'townhall' pada Rabu menerima kehadiran penuh dengan lebih 500 pekerja mendengar taklimat oleh Mueller dan ketua pegawai operasi Peter Bellew yang akan dilantik sebagai pengarah eksekutif untuk membantu memudahkan peralihan sementara CEO baru dilantik.

Ini adalah sesi pertemuan yang pertama Mueller dengan pekerja dan beliau akan mengadakannya beberapa kali lagi dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Sekarang, Mueller menunjukkan bahawa beliau tegas dalam keputusannya dan Khazanah akan menjalankan pencarian global untuk mencari penggantinya. Itulah yang Khazanah telah lakukan apabila ia mahukan seseorang yang mempunyai pendedahan global untuk memimpin MAS, lebih setahun yang lalu.

Syarikat penerbangan ini ketika itu berada dalam keadaan yang teruk, dengan dua bencana udara pada 2014.

"Sebahagian daripada persediaan asas untuk menjadikan MAS terus beroperasi telah dilakukan, tetapi ujian sebenar adalah pelaksanaan penuh pelan perniagaan dan Khazanah perlu memastikan bahawa calon baru yang mengambil alih tugas Mueller tidak datang dengan rancangan baru dan membuat kacau.

"Sebaliknya, dia mesti berpegang kepada pelan perniagaan sedia ada yang telah ditetapkan Mueller untuk melihat sama ada ia adalah satu keputusan yang dapat membuahkan hasil," kata seorang penganalisis pasaran.

Sejak mengambil alih MAS, Meuller berupaya meletakkan asas yang betul dalam tempoh perkhidmatan yang singkat dan dalam proses berkenaan mengekalkan rekod kejayaaannya dalam memulihkan syarikat-syarikat penerbangan yang bermasalah. 

Antara kejayaan beliau dengan Malaysia Airlines ialah mengurangkan kapasiti bagi laluan tidak menguntungkan serta kerjasama perkongsian kod dengan syarikat penerbangan Emirates. 

Ketika di bawah kepemimpinan beliau juga, syarikat penerbangan nasional ini melaporkan keuntungan pada Februari tahun ini, keputusan bulanan positif pertama dalam tempoh beberapa tahun.

Mueller dan Bellew turut membentangkan beberapa slaid menunjukkan kemajuan yang dibuat oleh syarikat penerbangan itu sejak September tahun lepas semasa sesi townhall.

"Ia seolah-olah perancangan itu menampakkan hasil dan MAS akan membuat lebih banyak keuntungan pada suku pertama.

"Walaupun Mueller akan meninggalkan MAS pada September, beliau akan cuba sedaya upaya dan sebanyak mungkin supaya MAS boleh menampakkan beberapa hasil dalam masa 18 bulan.

"Keputusan kewangan suku pertama hendaklah positif, tetapi bahangnya akan terasa dalam suku kedua, kerana secara tradisinya, suku kedua adalah suku yang paling lemah bagi syarikat penerbangan," kata seorang eksekutif penerbangan.

Dalam satu laporan baru-baru ini, Mueller menyifatkan syarikat penerbangan itu sebagai 'pesawat yang mempunyai banyak kebocoran' tetapi berkata perkara-perkara itu akan dikembalikan ke landasan yang betul.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu mencatatkan keuntungan pada bulan Februari, hasil bulanan positif yang pertama sejak beberapa tahun dan berada di atas landasan yang betul untuk kembali mencatatkan keuntungan menjelang 2018.
Tags / Kata Kunci: CEO MAS , Christoph Mueller , letak jawatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan