Nyaman Di Rumah, 'Berpeluh' Bayar Bil

Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 9:11 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengguna yang banyak bergantung kepada pendingin hawa dalam berdepan cuaca panas mendapati bil elektrik mereka melambung tinggi, mencecah tiga kali ganda atau lebih berbanding kebiasaannya.

Penggunaan yang kerap itu dapat dilihat dalam rekod penggunaan elektrik negara yang mencatatkan paras tertinggi di semenanjung Malaysia iaitu 17,175 megaWatt ketika waktu puncak bulan lalu, menurut Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Seorang penduduk di Kelana Jaya Warren Fernandez adalah antara mereka yang mengalami peningkatan bil elektrik yang mengejutkan sejak bulan-bulan kebelakangan ini, dari hanya RM80 kepada antara RM580 dan RM650.

"Saya tinggal dengan kakak saya, tetapi sejak dua bulan lalu, ibu dan empat saudara-mara dari Amerika tinggal di sini sebagai tetamu," kata Fernandez, yang bekerja dalam industri hospitaliti.

"Suhu panas memang tak dapat ditahan lagi akhir-akhir ini, jadi kami menghidupkan pendingin hawa sepanjang hari untuk memastikan mereka selesa di rumah," katanya.


Pemilik gerai, Kamisah Badarudin, 48, dari Desa Tasik, Sungei Besi, Kuala Lumpur menunjukkan bil elektriknya yang meningkat kepada RM454.70 (kanan) selepas beliau memasang satu unit pendingin hawa di rumahnya, bulan lalu. Bil elektriknya sebelum ini adalah RM252.51.


Joseph Wee, seorang lagi penduduk yang telah lama menetap di Kelana Jaya berkata dia tidak mempunyai pilihan lain, melainkan memasang pendingin hawa di ruang tamu rumahnya baru-baru ini kerana cuaca panas.


"Saya telah tinggal di sini selama lebih daripada 30 tahun dan tidak pernah berasa perlu untuk saya memasang penyaman udara.

"Bulan ini, bil elektrik saya mencecah lebih RM600 sedangkan sebelum ini bil saya hanya dalam lingkungan RM150-RM170.

"Saya agak terkejut tetapi ia bukan satu kejutan kerana saya tahu bahawa ramai isi rumah biasanya membayar sebanyak itu untuk keselesaan berhawa dingin."

Penduduk di Petaling Jaya Sashi Rajaratnam mengakui bahawa dia pernah menjadi seorang yang sangat berhati-hati dengan penggunaan pendingin hawa sehinggalah berlakunya fenomena cuaca panas semasa.

"Biasanya saya hanya menggunakannya selama kira-kira dua jam sehari untuk menyejukkan bilik sebelum tidur, tetapi sejak kebelakangan ini saya telah menggunakannya sepanjang masa setiap kali saya berada dalam bilik," katanya, sambil menambah bil elektrik di rumahnya mencecah kira-kira RM600.

Jurutera Michael Tan, 41, berkata dia terpaksa menghidupkan pendingin hawa di ruang tamu rumahnya selepas pulang dari berkerja atau kerana tidak tahan dengan cuaca panas.

"Bil elektrik saya meningkat sebanyak sekurang-kurangnya RM60 sebulan sejak tiga bulan lepas kerana saya telah menggunakan pendingin hawa lebih kerap," katanya, dengan harapan cuaca panas terik akan berakhir tidak lama lagi.

TNB berkata pada bulan lepas penggunaan elektrik mencapai permintaan puncak tertinggi iaitu 17,175MW, memecahkan rekod 16,901MW pada Jun 2014.

Ia berkata peningkatan permintaan tenaga daripada pengguna berlaku pada musim panas dan kering, serta penggunaan pendingin hawa yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, TNB memberi jaminan bahawa ia tidak memberi sebarang impak kepada bekalan tenaga kerana Malaysia mempunyai penjanaan elektrik yang mencukupi.

Sementara itu sebuah NGO alam sekitar tempatan menasihati pengguna bahawa menghidupkan pendingin hawa semata-mata sepanjang masa mungkin menjadi satu cara yang kurang berkesan dan mahal berdepan suhu panas.


Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) Anthony Tan mencadangkan cara yang lebih berkesan adalah dengan menggunakan kipas angin bersama penghawa dingin untuk meningkatkan peredaran udara.

"Sebaik-baiknya, suhunya harus ditetapkan antara 24°C dan 26°C, dengan kipasnya yang ditetapkan serendah mungkin," katanya.

Tags / Kata Kunci: bil elektrik , pendingin hawa , TNB , El Nino , suhu panas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan