JPN Kelantan Sahkan Kes Histeria Di Sekolah Terkawal

Diterbitkan: Selasa, 19 April 2016 9:01 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengesahkan kes histeria di beberapa sekolah di negeri itu yang berlaku sejak seminggu lepas, dalam keadaan terkawal. 

Timbalan Pengarahnya Jaafar Ismail berkata kawalan dan tindakan intervensi yang berterusan di peringkat sekolah dan daerah yang membabitkan pegawai JPN berjaya menangani masalah itu. 

"Kami amat menghargai mandat yang diberikan Kementerian Pendidikan untuk kita menyelesaikan perkara ini dan suka saya maklumkan keadaan sekarang adalah terkawal.  

"Cuma ada kes terpencil membabitkan pelajar yang masih lemah tetapi mereka tetap hadir ke sekolah. Kita akan pulihkan mereka di unit tertentu di sekolah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. 

Jaafar berkata langkah kawalan dan pemulihan berterusan akan dilakukan bagi memastikan tugas utama pelajar untuk memberi fokus kepada proses pelajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan lancar.

"Kami juga yakin dengan keupayaan pengurusan sekolah terutama pengetua dalam mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) mengendalikan kes ini melalui panduan yang diberikan kerana mereka lebih arif tentang pelajar dan sekolah masing-masing," katanya. 

Beliau berkata dakwaan kes histeria telah merebak ke beberapa sekolah sehingga membabitkan sejumlah besar pelajar adalah kurang tepat, sebaliknya ia hanya melibatkan segelintir pelajar sahaja. 

Jaafar berharap perkara tersebut tidak diperbesarkan bagi memastikan ia dapat ditangani secara menyeluruh dan cepat.

Isnin lepas, lebih 50 pelajar perempuan dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa II diserang histeria.  

Berikutan kejadian itu, cuti peristiwa selama sehari diberikan kepada sekolah berkenaan Khamis lepas bagi mengelak lebih ramai pelajar mengalami histeria.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Histeria , sekolah terkawal , JPN Kelantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan