Pengukuhan Ringgit Jadikannya Mata Wang Terbaik Di Rantau Ini - PM

Diterbitkan: Isnin, 18 April 2016 4:16 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ringgit yang mula mengukuh tahun ini dan mencapai tahap tertinggi 3.8650 berbanding dolar Amerika pada 14 April, telah menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di rantau ini, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peningkatan sebanyak 11 peratus itu dicatat sejak akhir 2015.

Najib berkata harga komoditi terutama minyak mentah juga diunjurkan meningkat dengan purata harga minyak mentah Brent, West Texas Intermediate (WTI) dan Dubai Fateh dijangka melebihi AS$40.99 setong pada akhir 2017 (2016:AS$34.75 setong).

"Secara tidak langsung, pemulihan ini dijangka akan memberi kesan positif kepada pergerakan mata wang ringgit memandangkan pergerakan ringgit mengikut trend harga minyak mentah dunia.

"Hasil kerajaan daripada sumber minyak dijangka bertambah dan seterusnya akan mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan," katanya pada persidangan Dewan Negara Isnin.

Najib berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Senator Datuk Mariany Mohammad Yit yang ingin tahu unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada 2016 dan prospek pemulihan ekonomi global yang menentukan kelestarian pembangunan ekonomi Malaysia pada 2017.

Perdana menteri berkata ekonomi Malaysia dianggar berkembang pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus pada tahun ini dengan mengambil kira faktor landskap ekonomi dan kewangan yang lebih mencabar.

"Pada tahun ini, permintaan dalam negeri diunjurkan berkembang 4.3 peratus dan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta," kata Najib.

Katanya, sektor luaran pula dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan melalui kepelbagaian eksport sejajar dengan permintaan luar negeri yang sederhana.

"Eksport dijangka meningkat 3.2 peratus pada tahun ini berbanding 0.7 peratus tahun lepas, manakala import dijangka terus berkembang pada kadar 3.4 peratus berbanding 1.3 peratus pada 2015," kata beliau.

Najib menjelaskan unjuran perkembangan ekonomi Malaysia pada tahun ini telah mengambil kira faktor pemulihan ekonomi global yang dijangka masih perlahan.

"Kelembapan ekonomi dunia terutama China, penyederhanaan harga komoditi dunia berikutan lebihan penawaran dan ketidaktentuan pasaran kewangan akan menjadi faktor penyumbang kelembapan ekonomi Malaysia," kata Najib.

Bagi tahun 2017, Najib berkata pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan berkembang lebih baik selaras dengan pemulihan ekonomi global.

Menurutnya, berdasarkan laporan Prospek Ekonomi Dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada bulan ini, ekonomi dunia dianggarkan berkembang pada kadar lebih tinggi iaitu 3.5 peratus pada 2017 berbanding 3.2 peratus pada 2016.

"Perdagangan dunia pula dijangka lebih rancak pada tahun depan dengan peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding 3.1 peratus tahun ini," kata Najib.

Najib berkata sentimen pelabur pada 2017 juga dijangka lebih positif berdasarkan prospek ekonomi negara yang akan berkembang selari dengan pertumbuhan ekonomi dunia.

"Selain itu, pelaburan awam juga dijangka bertambah baik berikutan langkah kerajaan yang menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan menzahirkan keuntungan daripada pelaburan mereka di luar negara untuk dilaburkan dalam negeri, dalam projek yang mempunyai nilai pengganda yang tinggi," katanya.

Najib berkata berdasarkan landskap ekonomi dan kewangan antarabangsa yang dijangka lebih memberangsangkan pada 2017, pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur menjadi lebih kukuh.

"Keupayaan Malaysia untuk menghadapi kejutan luar juga akan terus diperkukuh dengan tersedianya penampan yang mencukupi, rangka kerja dasar yang teguh, kebolehsuaian ekonomi dan ruang dasar yang mencukupi," kata perdana menteri.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan