Pelabur Asing Kekal Yakin Terhadap M'sia Meskipun Ada Usaha Jejas Nama Baik Negara

Diterbitkan: Ahad, 17 April 2016 8:17 PM

Mustapa Mohamed.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Usaha segelintir media asing yang cuba memburukkan nama negara dan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak langsung menjejaskan keyakinan pelabur luar untuk terus melabur di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun terdapat usaha aktif mereka yang cuba memburukkan nama Perdana Menteri, keyakinan pelabur masih tinggi kerana kepercayaan mereka terhadap kestabilan politik.

"Walaupun media antarabangsa membuat 'bising', syarikat-syarikat asing terus menunjukkan minat dan kami terus menarik pelaburan berkualiti ke dalam negara, " katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan bersama mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini, Ahad.

Terdahulu, Mustapa turut menyaksikan pengumuman komitmen pelaburan dan pertukaran dokumen bersama pelabur oleh empat syarikat yang akan melabur di zon Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat berjumlah lebih RM1.87 bilion. 

"Majlis hari ini membuktikan minat pelabur yang masih tinggi kepada Malaysia meskipun kita juga berhadapan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu," kata beliau.

Selain itu, pendekatan 'mesra pelabur' dan rekod pelaburan cemerlang oleh kerajaan untuk tunai janji pada pelabur selain promosi yang baik turut menjadi faktor penarik pelabur kepada negara.  

Menyentuh mengenai Johor pula, beliau berkata, kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri telah berjaya mewujudkan hampir 88,000 pekerjaan di negeri ini sejak lima tahun lepas.

"Johor terus menduduki tempat pertama dari segi sumbangan pelaburan kepada negara tiga tahun berturut-turut dan ini cukup membanggakan," kata beliau.

Mustapa yang dalam rangka kerja lawatan dua hari ke negeri ini sejak Sabtu turut melawat Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) pagi Ahad.

Beliau yang melawat komponen-komponen pembangunan PIPC iaitu Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT), turut berasa puas hati dengan kemajuan dan pembangunan yang dicapai sehingga kini.

"Saya berpuas hati dengan perkembangan sejak lawatan tiga tahun lepas. Kita percaya keseluruhan projek itu akan membantu Malaysia menguasai peningkatan keperluan dan permintaan pasaran produk tenaga dan komoditi petrokimia di Asia 20 tahun akan datang," kata Mustapa. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan