Rahman Dahlan Kecewa Debat Tak Dibenarkan

Diterbitkan: Sabtu, 16 April 2016 5:06 PM

Abdul Rahman Dahlan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Abdul Rahman Dahlan kecewa dengan arahan supaya membatalkan debat antara beliau dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional itu berkata, arahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dikesali kerana beliau bersedia untuk berdebat dengan Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri.

"Alasan PDRM untuk membatalkan debat ini dilihat bagi mengelakkan prejudis oleh seorang saksi yang belum lagi dipanggil untuk disoal siasat," kata Abdul Rahman di Twitter pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi twitternya pada Jumaat malam menggesa stesen televisyen tempatan membatalkan rancangan untuk menyiarkan secara langsung debat kerana kes tersebut sedang disiasat oleh SPRM.

""Walaupun saya benar-benar kecewa, tetapi sebagai ahli kabinet, saya perlu akur arahan PDRM dan SPRM," kata Abdul Rahman.

Beliau berkata, pasukan strategik beliau bekerja keras untuk menguruskan "bukti-bukti yang tidak dapat disangkal" berhubung isu tanah Taman Manggis dan skandal pembelian banglo.

"Kita bersedia untuk berhadapan dengan LGE (Lim Guan Eng)," kata beliau.

Abdul Rahman berkata, beliau juga akan menyerahkan segala "bukti dokumen" yang pada awalnya dirancang untuk digunakan semasa debat, kepada pihak polis minggu depan.

"Sebab "untuk mengelakkan prejudis" mungkin berita baik buat LGE. Lagipun, bukan saya yang disiasat yang mungkin terbabit dengan dakwaan.

"Dengan bantuan di atas keprihatinan rakyat Pulau Pinang dan pemberi maklumat, akan ada lebih banyak pendedahan!" katanya.

Pada Sabtu, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad mengambil nasihat PDRM dan SPRM agar siaran langsung perdebatan di antara Abdul Rahman dan Guan Eng berkaitan dengan isu tanah Taman Manggis ditangguhkan.

Perdebatan tersebut dijadual bersiaran secara langsung di TV3 pada 19 April ini, namun ditangguhkan atas nasihat dan pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki.

Tags / Kata Kunci: Abdul Rahman Dahlan , Lim Guan Eng

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan