Bayi Perempuan Bertali Pusat Dibuang Di Depan Rumah - Berita Semasa | mStar

Bayi Perempuan Bertali Pusat Dibuang Di Depan Rumah

Diterbitkan: Sabtu, 16 April 2016 11:54 AM

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Selepas 15 minit mendengar tangisan bayi, seorang lelaki bangun daripada tidur dan membuat pemeriksaan sebelum menemukan seorang bayi dibuang di hadapan rumahnya di Kampung Masjid, Teluk Kumbar di sini, Jumaat malam.

"Saya buka pintu dan nampak bayi itu atas lantai hadapan pintu, saya yang terkejut terus ambil bayi berkenaan dan peluknya kerana mungkin dia kesejukan. Dia hanya dibalut dengan baju sejuk sahaja," kata Masrol Mohamed Yusoff.

Ketika itu kira-kira pukul 3 pagi dan dia terus memanggil jirannya dan meminta mereka menguruskan bayi perempuan itu, katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Masrol, 33, yang bekerja di sebuah syarikat pengangkutan dan logistik berkata dia kemudiannya membuat laporan polis.

Katanya sepanjang tinggal di kampung berkenaan sejak 20 tahun lepas, ini merupakan kali pertama kes buang bayi berlaku dan berharap pihak tidak bertanggungjawab itu dapat ditangkap segera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Siti Norsalawati Saad berkata bayi yang masih bertali pusat itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan dan rawatan.

"Polis sedang mengesan ibu kepada bayi itu," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenaikejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Buang Bayi , depan rumah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan