Kerajaan Gariskan Tugas Pasukan Petugas Khas Proton

Diterbitkan: Khamis, 14 April 2016 4:57 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggariskan tanggungjawab pasukan petugas untuk memastikan pelan transformasi Proton berjaya.

Pasukan petugas yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala itu bertanggungjawab untuk Memantau pelaksanaan pelan pemulihan perniagaan Proton dan menjadikannya berdaya maju dan berdaya saing.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pasukan itu juga akan memantau pelan strategik bagi meningkatkan penguasaan pasaran dalam negara dan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

"Pasukan petugas itu juga akan mengenalpasti rakan strategik dari luar negara dalam tempoh terdekat untuk membantu Proton memastikan perniagaannya berdaya saing dan berdaya maju.

"Bagaimanapun pasukan petugas ini tidak akan terlibat dalam operasi harian Proton. Ini merupakan tanggungjawab sepenuhnya pengurusan dan Lembaga Pengarah Proton," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Selain itu Mustapa mengumumkan enam anggota pasukan petugas khas itu yang dianggotai masing-masing tiga wakil kerajaan dan sektor swasta.

Mereka ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Nik Rahmat Nik Taib; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Dr. Yusof Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi, Datuk Yogeesvaran Kumaraguru.

Manakala tiga wakil sektor suasta ialah Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Symphony House Berhad, Tan Sri Azman Yahya; Ketua Pengarah Eksekutif, Celcom-Axiata Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Hamirullah Borhan.

Tags / Kata Kunci: Proton

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan