Penganjur Jemput Dr Ramasamy Hadir Ceramah Dr Zakir

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 9:22 PM

Dr P Ramasamy.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penganjur forum pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik menjemput Dr P. Ramasamy untuk menghadiri majlis tersebut di sini, malah sanggup membiayai tiket penerbangannya.

Pengarah program itu, Abu Shariz Sarajun Hoda berkata penganjur akan menanggung kos tiket kapal terbang Dr Ramasamy dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sebagai langkah muhibah.

Beliau amat kecewa dengan tindakan Dr Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu memanggil Dr Zakir sebagai "syaitan".

Jelas Abu Shariz, sebagai seorang tokoh awam, Dr Ramasamy tidak sepatutnya membuat kenyataan yang menyinggung perasaan ramai pihak.

Malah, beliau turut menjemput Presiden MIC, wakil dari Hindu Sangam dan Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) untuk hadir ke majlis tersebut.

Pada masa sama, Abu Shariz berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana membenarkan forum itu diteruskan di Melaka selepas tajuknya ditukar.

Tajuk forum di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka itu kini ditukar kepada 'Hak Wanita Dalam Islam' daripada tajuk asal 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam'.

Pada Isnin, polis tidak membenarkan Dr Zakir menyampaikan ceramah di Melaka tetapi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan ia akan diteruskan dengan syarat tajuk ceramah perlu ditukar.




Tags / Kata Kunci: Dr P Ramasamy , Dr Zakir Naik , ceramah , UTEM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan