Tiada Rakyat Malaysia Terlibat Kebakaran Kuil Puttingal Setakat Ini

Diterbitkan: Isnin, 11 April 2016 4:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kebakaran yang meragut nyawa lebih 100 penganut di kuil Puttingal Devi di  Paravur, India, setakat ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Chennai Ahmad Fajarazam Abdul Jalil.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan Kerala telah mengesahkan status itu pada Isnin.

"Pihak berkuasa Kerala telah menghubungi pihak Konsulat pada 11 pagi ini untuk memaklumkan status terkini bahawa tiada rekod mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terlibat dalam tragedi itu setakat ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Ahmad Fajarazam menasihatkan rakyat Malaysia atau anggota keluarga mereka yang pergi ke kuil itu supaya menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai di talian +919791114261 atau +914424334434 untuk bantuan.

Menurut laporan berita dalam talian The Hindu hari ini, sekurang-kurangnya 108 orang terbunuh dan lebih 350 cedera apabila kebakaran berlaku di kuil itu awal pagi Ahad, dipercayai berpunca daripada persembahan bunga api yang diadakan secara besar-besaran di kawasan kuil itu.

Paravur, yang merupakan bandar di tepi pantai terletak kira-kira 60km dari ibu negeri Kerala, Thiruvananthapuram.

Tags / Kata Kunci: India , Paravur

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan