PM Mahu Golongan Muda Libatkan Diri Dalam Aktiviti Kesukarelawanan

Diterbitkan: Sabtu, 9 April 2016 2:40 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi tepukan tahniah kepada para penerima Volunteer Malaysia Awards di iM4U Sentral, Sabtu. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif iM4U Rudy Malik (tiga,kanan).

(Ubah saiz teks)

PUCHONG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa golongan muda terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan untuk membantu memantapkan jati diri golongan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan yakin golongan muda mampu dibentuk menjadi kumpulan yang bakal membawa negara ke tahap lebih tinggi.

"Banyak telah dilakukan untuk golongan muda kerana kita yakin mereka ini kalau kita dapat gemblengkan dalam usaha bersifat padu dan holistik, dilengkapi dengan produk dan tema yang dekat dengan jiwa mereka, maka mereka akan menjadi kumpulan yang akan membawa kejayaan kepada negara," katanya.

Najib berkata demikian ketika merasmikan iM4U Sentral di Puchong, di sini, yang bakal menjadi hab pembangunan belia dengan menempatkan kemudahan bagi aktiviti sukan, kesukarelawan dan modal insan.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai mentor iM4U.

Najib juga menekankan aspek keikhlasan untuk diamalkan golongan muda dengan tidak mengharapkan ganjaran dalam bentuk wang ringgit kerana aktiviti sukarela dapat membentuk jati diri golongan itu.

Katanya golongan belia yang kukuh dan mantap jati diri akan lebih bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran pada masa depan.

Perdana Menteri berkata kerajaan bertanggungjawab menyediakan tapak dan peluang kepada golongan muda untuk berjaya, namun semua itu terletak kepada sikap golongan itu sendiri.

"Apabila ada pusat seperti ini, saya harap ia dijadikan bukan hanya satu pusat untuk bersuka ria tetapi tempat berkumpul bagi menjana dan mencetuskan idea-idea bernas serta kreatif dalam mengubah masa depan negara. Tapi dalam proses itu, golongan muda perlu mengubah diri sendiri," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan bagi mewujudkan Anugerah Kesukarelawan Malaysia yang dibahagikan kepada tiga kategori - emas, perak dan gangsa.

"Bagi mereka yang ingin memohon kerja di sektor kerajaan, kita akan beri nilai tambah kepada mereka yang mendaftar sebagai sukarela. Kerana, kita bukan sahaja mahu kelulusan akademik tetapi juga soal kualiti kepimpinan perlu diutamakan," katanya.

iM4U Sentral yang terletak di tanah seluas 2.25 hektar di sini, dilengkapi dua gelanggang futsal; bola tampar; bola keranjang; sepak takraw; gimnasium serta aktiviti panjat tembok, selain dewan serba guna dikenali 'The Rectangle' yang boleh memuatkan 500 orang.

iM4U Sentral yang dinaik taraf daripada kompleks Rakan Muda Puchong sejak Januari tahun lepas, juga dilengkapi hostel yang boleh menempatkan 157 peserta bagi memudahkan belia di seluruh negara melakukan aktiviti di kompleks berkenaan serta dilengkapi pantry dan bilik dobi.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut menyampaikan empat anugerah 'Best Volunteer Initiative 2015', 'Best Outreach Centre 2015', 'Best DRe1M Fund Initiative 2015' dan 'iM4U Ambassador of the Year 2015'.

Pelancaran iM4U Sentral adalah sebahagian daripada sambutan Hari iM4U, iaitu karnival untuk pengunjung menerokai kemudahan di iM4U Sentral.

Pusat itu juga dilengkapi stesen radio dikenali sebagai iM4Ufm yang mendekatkan belia terhadap program iM4U menerusi muzik, bersiaran menerusi frekuensi 107.9 FM di Lembah Klang.

Setakat ini, terdapat dua juta sukarelawan yang berdaftar dengan iM4U.-- Bernama

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan