Najib Ucap Takziah Kepada Keluarga Pelajar Jia Yi

Diterbitkan: Sabtu, 9 April 2016 9:17 PM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar Malaysia Law Jia Yi, yang dilaporkan membunuh diri di Taiwan baru-baru ini.

Wakil Khas Perdana Menteri ke Asia Timur (Korea Selatan, Jepun dan Taiwan) Datuk Seri Tiong King Sing, yang berada di Taiwan sejak Jumaat, berkata setelah memaklumkan berita sedih itu kepada Najib, beliau diminta memberi bantuan sewajarnya kepada keluarga pelajar berkenaan.

Tiong berkata kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya kepada keluarga Law, termasuk mengatur urusan membawa pulang abu mayatnya ke tanah air secepat mungkin.

"Kami sedang berusaha mendapatkan bantuan segera daripada pihak berkuasa tempatan di sana dan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (MFTC),"katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tiong menyampaikan sumbangan RM6,000 daripada Perdana Menteri dan sumbangan peribadi beliau RM6,000 kepada keluarga itu.

Keluarga Law berusaha untuk membawa pulang abu mayat pelajar itu ke Malaysia secepat-cepatnya Isnin depan.

Akhbar Taiwan melaporkan bahawa pelajar National Taiwan Normal University berusia 24 tahun itu dijumpai meninggal dunia di dalam biliknya oleh seorang rakan serumahnya pada petang Rabu.

Sementara itu, Tiong menasihati pelajar Malaysia di Taiwan supaya segera mendapatkan bantuan sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan atau emosi dan tidak berdiam diri mengenainya.

"Selain rakan dan keluarga sendiri, ada pihak berkuasa dan organisasi yang boleh anda minta pertolongan, termasuk Dewan Perniagaan Malaysia MFTC dan Persatuan Pelajar Malaysia di Taiwan," katanya.

Beliau berkata terdapat pelajar Malaysia yang tidak dapat dikesan di Taiwan kerana sebab tidak diketahui pada Februari dan Mac tahun ini, tetapi mereka kemudiannya didapati berada dalam keadaan selamat. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Najib ucap takziah , Law Jia Yi , taiwan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan