Adenan Yakin BN Sarawak Menang 60-70 Kerusi

Diterbitkan: Sabtu, 9 April 2016 6:00 PM

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (tengah) ketika merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 Bahagian Sri Aman, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

SRI AMAN: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yakin Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memenangi sekurang-kurangnya 60 hingga 70 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

Pengerusi BN negeri itu berkata dengan barisan sedia ada dalam 'Pasukan Adenan', kerajaan negeri yang ada sekarang akan terus berkuasa pada penggal akan datang.

"Selepas menjelajah Sarawak (melalui Program Sejiwa Senada), ada harapan untuk BN. Mungkin bukan kesemua 82 kerusi, tetapi sekurang-kurangnya kita mungkin boleh menang 60 hingga 70 kerusi.

"Asalkan kita bersatu," katanya di hadapan orang ramai yang membanjiri majlis pelancaran 'Program Sejiwa Senada' anjuran kerajaan negeri dan agensinya di sini, Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu; Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Ghani.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, manakala selebihnya dimenangi DAP (12), PKR (tiga) dan Bebas (satu).

Pada pilihan raya negeri ke-11 akan datang, 11 kerusi baharu turut menjadi rebutan berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun lepas, dan menjadikan jumlah kerusi yang dipertandingkan sebanyak 82.

Sebelum ini, Adenan mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan pada 11 April.

Pada majlis hari ini, Adenan mengumumkan Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), yang juga Ketua Pemuda parti itu, Dr Johnical Rayong Ngipa sebagai calon langsung BN bagi kerusi Engkilili.

Beliau juga mengesahkan penyandang kerusi Lingga (Simoi Peri), Balai Ringin (Snowdan Lawan), Bukit Begunan (Datuk Mong Dagang), Simanggang (Datuk Francis Harden Hollis) dan Batang Ai (Malcom Mussen Lamoh) akan dikekalkan sebagai calon BN.

"Saya harap anda semua akan mengekalkan mereka sebagai sebahagian daripada pasukan saya iaitu Pasukan Adenan," katanya.

Ketika ditemui media kemudian, Johnical yang akan mempertahankan kerusi Engkilili bagi penggal ketiga, meminta semua pihak menghormati pengumuman rasmi Ketua Menteri mengenai pemilihan beliau sebagai calon BN.

"Saya berharap, setiap orang akan bekerjasama dengan saya bagi memastikan BN mencapai kemenangan besar terutama memandangkan Ketua Menteri mahukan mandat lima tahun yang kukuh," katanya.

Program Sejiwa Senada pertama kali diadakan di Miri dari 8 hingga 10 Jan tahun ini, bertujuan memupuk hubungan lebih erat antara kerajaan dan rakyat melalui konsep turun padang.

Pelbagai acara disusun untuk mengisi program itu termasuk seminar pembangunan, ceramah, pertandingan sukan tradisional, demonstrasi masakan dan persembahan oleh artis popular.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Adenan Satem , BN , Sarawak

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan