Temuramah Penuh Bersama Pengerusi PAC

Diterbitkan: Jumaat, 8 April 2016 11:25 PM

Datuk Hasan Arifin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Berikut ialah transkrip penuh temuramah Bernama dengan Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin:

1. Bolehkah Datuk kongsikan apa yang berlaku semasa prosiding mengenai 1MDB dijalankan?

Prosiding bagi 1MDB adalah berbeza daripada proses lazim PAC. Mengikut prosedur, Jabatan Audit Negara akan membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat, PAC kemudian akan menerima pembentangan Ketua Audit Negara berhubung laporan berkenaan dan selepas itu, Jawatankuasa ini akan meneliti isu-isu yang mempunyai elemen 3P iaitu Pembaziran, Penyalahgunaan Kuasa dan Pemborosan yang berlaku dalam kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 
Namun dalam prosiding dan siasatan terhadap 1MDB, PAC mengambil langkah awal dan inilah kelebihan jawatankuasa ini, di mana PAC tidak tertakluk pada mana-mana arahan termasuk daripada kerajaan untuk menjalankan siasatan, dalam kata lain kami bebas untuk menjalankan siasatan dan walaupun 1MDB tidak dilaporkan dalam LKAN, PAC mengambil inisiatif untuk melaksanakan siasatan demi kepentingan rakyat negara dan secara keseluruhannya. 
Walaupun, Kabinet meminta JAN melaksanakan pengauditan terhadap 1MDB secara keseluruhannya bukan sekadar membabitkan kewangannya tetapi juga operasi, tataurus serta tadbir urus syarikat ini dan membentangkan kepada PAC tetapi jawatankuasa ini tidak menunggu laporan JAN sebaliknya melaksanakan prosiding bermula 19 Mei dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab secara langsung terhadap 1MDB termasuk Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham syarikat ini. 
Dalam kes ini, Kabinet meminta Jabatan Audit Negara untuk menjalankan penelitian penyata kewangan 1MDB dan membentangkannya kepada PAC. Jawatankuasa ini kemudian memulakan prosiding pada 19 Mei 2015 di mana kami memanggil saksi dan meminta dokumen tambahan bagi menyiapkan laporan sendiri untuk dikemukakan kepada Parlimen.
Lebih penting, setiap kenyataan saksi yang dipanggil PAC juga membantu JAN menyiapkan laporannya sebelum Laporan Penuh Pengauditan 1MDB oleh JAN dibentangkan kepada jawatankuasa pada 4 Mac. Jadi terdapat check and balance terhadap laporan berkenaan. 
Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April lalu, disediakan Sekretariat PAC dengan berasaskan fakta serta maklumat daripada Laporan Penuh Pengauditan 1MDB oleh JAN dan kenyataan saksi yang diperoleh ketika prosiding 1MDB.


2. Bolehkah Datuk senaraikan siapa yang didapati bertanggungjawab atau kebersalahan atau siapa yang dikenal pasti sebagai individu yang perlu disiasat lebih lanjut dan di peringkat mana anda kenal pasti mereka sebagai untuk dirujuk?

Jawatankuasa ini tidak berfungsi untuk mengenal pasti siapa yang bersalah tetapi untuk membentangkan apa yang kami temui.
Berikut adalah kesimpulan yang boleh diwajarkan daripada laporan itu: 

I.Tiada bukti untuk mencadangkan berlaku salah laku jenayah berkaitan penyalahgunaan dana atau berlaku transaksi pelaburan mahupun pelaburan atau mana-mana aktiviti 1MDB yang menjurus kepada aktiviti menyalahi undang-undang. Secara khususnya, PAC tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa oleh perdana menteri, berkaitan 1MDB.


II.PAC juga menemui bahawa RM42 bilion hutang 1MDB tidak hilang sebagaimana tuduhan pelbagai pihak, kerana ia sudah dihitung dan tiada pembayaran dilakukan daripada 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri.


III.PAC bagaimanapun mengenal pasti beberapa contoh di mana pengurusan 1MDB tidak mematuhi proses tatakelola yang tepat. Ini termasuk tidak melaksanakanarahan spesifik Lembaga Pengarah, membuat keputusan sebelum menerima kelulusan sepenuhnya daripada lembaga pengarah dan gagal untuk telus dengan lembaga pengarah. Untuk itu, saranan secara spesifik turut dinyatakan dalam laporan di mana kami yakin pihak berkuasa terbabit akan menilai dan mengambil tindakan, jika perlu.


3. Adakah terdapat satu mekanisme untuk mana-mana individu merayu terhadap pencarian fakta yang dihasilkan PAC, seperti melalui mahkamah atau semakan kehakiman?

Memandangkan PAC tidak mengeluarkan hukuman, tiada yang perlu dirayu. Bidang kuasa PAC ialah untuk mengesahkan pematuhan fidusiari dan mengutarakan perlanggaran yang memerlukan penilaian lanjut atau siasatan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan.


4.Sekarang kita telah menemui elemen salah laku dalam GLC ini, adakah terdapat asas untuk melakukan penilaian lanjut terhadap GLC lain?


Untuk memberi penjelasan lebih tepat, hasil penemuan PAC tidak menjurus kepada salah laku, iaitu satu terma pejoratif atau mengelirukan. Hasil penemuan PAC bagaimanapun menjurus kepada kegagalan kronik terhadap proses yang sudah digariskan, peraturan dan prosedur, di mana pengurusannya, dan bukannya kerajaan, perlu bertanggungjawab.
PAC adalah satu badan pematuhan, ketelusan dan mengikuti proses. PAC merasakan lebih banyak operasi audit dilaksanakan melibatkan dana awam atau kerajaan yang akan memberi keupayaan untuk mengenal pasti mana-mana peringkat operasi yang memerlukan penambahbaikan atau pelaksanaan lebih baik.


5. Adakah PAC hanya menyiasat transaksi yang sudah terlaksana atau adakah PAC turut menyiasat siapakah yang memberi arahan untuk melakukan transaksi, yang satunya adalah salah urus tadbir dan satu lagi adalah jenayah?

Prosiding PAC melibatkan penilaian yang sangat teliti dan komprehensif terhadap dokumentasi, kelulusan dan prosesnya. Pada bila-bila masa ketika prosiding, jika jawatankuasa merasakan wujud keperluan siasatan lanjut, kita akan memanggil invididu terbabit dan meminta penjelasan.
Laporan PAC kepada Parlimen mengandungi saranan untuk siasatan lanjut. Ia kemudian adalah atas budi bicara pihak berkuasa berkaitan untuk menentukan bagaimana susulan akan dibuat. PAC bukan sebuah badan eksekutif atau kehakiman, namun hasil penemuan akan menjadi berguna kepada kedua-dua badan itu, selain Parlimen di mana ia ditubuhkan.


6.Kenapa peranan perdana menteri tidak disebut dalam laporan PAC berkaitan 1MDB ini?

Pihak kerajaan sentiasa kekal dengan pendirian bahawa dakwaan dan tuduhan yang dibuat berkaitan rasuah, penyalahgunaan dana dan salah guna kuasa adalah palsu dan tidak berasas.
Sepanjang tempoh 18 bulan, wujud pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap perdana menteri. Pada setiap tuduhan, ia disiasat PAC.
PAC tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan salah laku atau salah guna kuasa perdana menteri, dan keputusan ini dibuat sebulat suara dan konsensus oleh kesemua anggota PAC.


7. Bagaimana PAC mencapai kepada kesimpulan dan adakah Datuk yakin hasil penemuan ini tidak akan diragui masyarakat?

PAC membuat kesimpulan melalui prosiding berterusan dengan individu dipanggil, mengumpul maklumat, mendapatkan maklumat dan melalui kerjasama dengan Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.
Dengan komposisi keanggotaan pelbagai parti, tidak berat sebelah dan keupayaan untuk akses kepada pelbagai sumber, kami sangat yakin PAC sudah menepati malah melangkaui apa yang diharapkan rakyat.
Kami berdiri pada penemuan ini, dengan pengetahuan tiada agenda tersembunyi dan tiada pengaruh luar terhadap laporan ini.


8. Adakah arahan siasatan berbeza ketika PAC dipengerusikan Datuk Nur Jazlan Mohamed dan selepas diambil alih Datuk Hasan Arifin?

Prosiding PAC berjalan dengan pematuhan kepada proses yang sudah ditetapkan, yang kekal dipatuhi biar siapa pun mempengerusikan jawatankuasa ini.
Pengwujudan jawatankuasa ini dianggotai wakil dwipartisan bagi memastikan tidak berat sebelah, intergriti dan ketelitian.


9. Bagaimana kita akan percaya akan penemuan PAC ini?

PAC adalah sebuah jawatankuasa tetap Dewan Rakyat. PAC adalah sebuah jawatankuasa berbilang parti dan berkecuali daripada kerajaan. Ia hanya menjawab kepada Parlimen, maka dengan itu ia sekaligus menjawab terus kepada rakyat.
Kalau tidak dipecahkan ruyung, mana hendak dapat sagunya. Sila lihat laporan PAC dan saya pasti anda akan dapat melihat ketelitian dalam skopnya, profesional pada metologinya dan komprehensif pada saranannya.

10. Mengapa saksi yang dipanggil tidak melibatkan Perdana Menteri, Gabenor Bank Negara dan Jho Low?

Panggilan untuk memberi kenyataan bermula dengan pengurusan dan lembaga pengarah, dan jika ada keperluan untuk memanggil pihak luar memberi kenyataan, kami akan berbuat demikian, namun pada kes ini berdasarkan kepada kenyataan konklusif, tiada keperluan ke arah itu.


11. Adakah hasil penemuan itu mewakili konsensus jawatankuasa ini atau terdapat bantahan daripada kalangan anggota jawatankuasa terhadap laporan ini?

Biarpun terdapat bantahan, ia adalah bagi alasan yang munasabah, dan adalah penting untuk menyatakan, jawatankuasa ini terdiri daripada Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah. Dan dengan itu, laporan PAC ini adalah bersandarkan kepada konsensus sebulat suara selepas apa jua debat bagi mencari titik persamaan.
PAC adalah satu badan tidak memihak kepada sesiapa dan mencari kebenaran yang fokusnya adalah mengemukakan kebenaran kepada rakyat melalui Parlimen.


12. Memandangkan PAC adalah sebuah jawatankuasa dwipartisan penggubal undang-undang daripada kedua-dua belah pihak, adakah berlaku kesukaran untuk mencapai keputusan sebulat suara terhadap hasil siasatan?

Sifat tidak berat sebelah jawatankuasa ini, keupayaan untuk bersidang tanpa kehadiran media, orang awam dan kerajaan namun dengan akses kepada maklumat tanpa batas dan penggunaan sumber Parlimen yang banyak, membolehkan ia mencapai satu kesimpulan yang seimbang, tepat dan adil. Benar, memang berlaku perdebatan dan bantahan terhadap beberapa isu, namun kami akhirnya akan mencapai satu kesimpulan, sebagaimana boleh dilihat dalam laporan PAC ini.


13. Kepada siapakah PAC perlu menjawab?


PAC adalah jawatankuasa dipilih Dewan Rakyat. Keanggotaan PAC mewakili kepelbagaian badan perundangan negara. PAC ialah keanggotaan parti bersilang melibatkan 5 daripada parti pembangkang dan 8 daripada penyokong kerajaan.
Sebagai sebuah badan Parlimen dan bukannya kerajaan, jawatankuasa ini dapat menjalankan siasatan bebas tanpa sebarang gangguan dan halangan dan berat sebelah. Ia hanya perlu menjawab kepada Parlimen, maka dengan itu, menjawab kepada rakyat.
Kami boleh sahkan elemen integriti dan berkecuali dipenuhi sepanjang prosiding PAC dan tiada kejadian di mana PAC terganggu atau diberi arahan oleh mana-mana individu di luar proses diwartakan.


14. Siapa yang memilih anggota dan pengerusi PAC?

Bagi mengekalkan integriti, keseimbangan, penyilangan seimbang perwakilan parti politik dan berkecuali, wujud satu proses ketat untuk ini.
Pengerusi (daripada penyokong kerajaan) dan Timbalan (daripada ahli pembangkang) adalah dilantik melalui usul di Parlimen oleh perdana menteri yang akan diperdebatkan di Dewan Rakyat dan usul diluluskan melalui undian majoriti ahli dewan.
Secara konvensyennya pengerusi datang daripada penyokong kerajaan manakala timbalan adalah daripada pembangkang.
Tiada seorang pun boleh melantik atau menyingkir anggota PAC kerana ia perlu dilakukan secara kolektif oleh Parlimen yang bertindak mewakili rakyat untuk mengemukakan fakta dan kebenaran tanpa berpihak.

15. Apa kuasa siasatan yang dimiliki PAC?


Arahan Tetap Dewan Rakyat mewujudkan kuasa PAC dan kuasanya.  Arahan Tetap itu memberi kuasa kepada PAC untuk memeriksa:

i.Akaun persekutuan dan penggunaan dana yang diluluskan Parlimen bagi memenuhi perbelanjaan awam

ii.Apa jua akaun pihak berkuasa awam atau mana-mana badan yang mentadbir dana awam yang dikemukakan di hadapan Dewan Rakyat

iii. Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, selaras dengan peruntukan Artikel 107, Perlembagaan Persekutuan.

iv. Apa jua isu berbangkit yang difikirkan wujud keperluan oleh jawatankuasa atau yang dirujuk kepada jawatankuasa oleh Dewan Rakyat.
Adalah penting untuk menyatakan PAC bukan satu badan pihak berkuasa, namun PAC ialah satu badan yang bebas dan tidak dipengaruhi dalam mencari kebenaran bagi mengemukakan fakta kepada rakyat melalui Parlimen.


16. Mengapa berlaku kelewatan dalam membentangkan laporan ini?


Laporan PAC ini perlu terperinci. Ia adalah tidak tepat jika PAC mengumumkan hasil siasatan secara tidak matang tanpa mengakses kepada apa jua maklumat terkini daripada sebanyak mana sumber yang boleh.
Terdapat dakwaan bahawa perubahan anggota PAC turut mengubah perjalanan prosiding di mana dakwaan ini adalah sangat tidak benar. Jika anda membaca laporan PAC ini, tiada apa yang terlepas pandang.


17. Adakah laporan ini diperiksa dan disahkan oleh badan berkecuali di luar Malaysia atau di luar pengaruh kerajaan?

Model PAC ini sudah diuji dan disahkan berjaya, dan ia adalah model serupa dipraktikkan di negara Komanwel. Ia adalah satu badan dihormati dan satu proses yang sudah wujud lama di negara demokrasi termasuk United Kingdom, New Zealand dan Afrika Selatan, untuk menamakan beberapa negara. Ia adalah satu landasan penting bagi akauntabiliti terhadap kerajaan, dan ia sudah dipraktikkan komuniti antarabangsa.
PAC telah dibuktikan sebagai satu badan yang memiliki pengalaman untuk melakukan siasatan teliti, kerap kali mencapai satu kesimpulan yang sukar. Ini membuktikan anggota PAC bebas daripada sebarang gangguan, berat sebelah atau tekanan daripada pihak luar.
Tugas PAC adalah untuk menyediakan laporan komprehensif terhadap tatakelola syarikat, badan atau jabatan kerajaan. Ini sudah dicapai dengan berjaya dan pada kes 1MDB, PAC turut mengemukakan saranan terperinci kepada kerajaan untuk dipertimbang dan dilaksanakan.

18. Adakah PAC bekerjasama dengan kerajaan Amerika, Switzerland dan Australia dalam siasatan terhadap 1MDB?

Bidang kuasa PAC adalah untuk menjalankan penilaian teliti terhadap 1MDB, berdasarkan kepada laporan dan prosiding Jabatan Audit Negara. Hingga kini, PAC tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa negara luar berkaitan 1MDB atau melihat ada keperluan untuk menghubungi mereka.

19. Memandangkan siasatan sudah lengkap dan tiada penglibatan salah laku perdana menteri dan kerajaan, adakah akan ada tindakan undang-undang terhadap pelbagai pihak yang menyebar dakwaan terhadap 1MDB?

PAC bukanlah badan yang tepat untuk anda ajukan soalan itu. Kami hanya boleh mengulas mengenai laporan PAC dan hasil siasatannya. Kami bagaimanapun membuat saranan untuk tindakan lanjut. Ia adalah bergantung kepada keputusan pihak berkuasa berkaitan untuk menentukan tindakan selanjutnya.
Tags / Kata Kunci: laporan PAC , Datuk Hasan Arifin

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan