PAS Sahkan Letak Calon Bukan Islam Pada PRN Sarawak

Diterbitkan: Selasa, 5 April 2016 5:24 PM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Seorang calon bukan Islam adalah antara 11 calon PAS yang akan diletakkan parti pembangkang itu, dalam usaha untuk bertapak dalam politik Sarawak, pada pilihan raya negeri ke-11.

Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar Suhaili mengesahkan buat julung kalinya partiakan meletakkan calon bukan Islam pada pilihan raya negeri Sarawak namun enggan mendedahkan identiti calon itu.

"Pengumuman rasmi kesemua 11 calon, termasuk calon bukan Islam itu dansatu-satunya calon wanita, akan diumumkan Rabu malam di Bintulu," katanya kepada Bernama, Selasa.

Bagaimanapun, Mukhtar berkata kali ini calon-calon PAS daripada pelbagai latar belakang dan merupakan  profesional daripada syarikat multinasional, pesara, usahawan dan bekas penjawat awam.

"Kami telah turun padang ke seluruh Sarawak menerusi program kami dipanggil "Untukmu Sarawak" yang telah dilaksanakan pada 2014 dan berdasarkan maklum balas, kami yakin yang kami ada peluang," katanya.

Bagi pilihan raya negeri ke-11, PAS akan bertanding di  Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Lambir,Pujut dan Samalaju, yang merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri yang baharu.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 2011, PAS bertanding di lima kawasan - Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.

Sementara itu ketika ditanya tentang cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding, Mukhtar berkata ia akan meningkatkan peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang dan bukannya akan menjejaskan peluang kemenangan parti pemerintah itu.

"Dengan atau tanpa kehadiran Amanah dalam pilihan raya negeri, kami sudah membuat persediaan dan kami sedia berdepan dengan sesiapa sahaja," katanya.

Pada Ahad lepas, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dipetik sebagai berkata bahawa parti itu akan bertanding di 13 kerusi dalam pilihan raya negeri.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini mengumumkan Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan pada 11 April ini bagi diadakan pilihan raya negeri ke-11.-Bernama

Tags / Kata Kunci: PAS , calon bukan islam , PRN Sarawak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan