Rayani Air Nafi Operasi Digantung, Penerbangan Kembali Pulih

Diterbitkan: Isnin, 4 April 2016 8:35 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air menafikan operasinya digantung, sebaliknya menegaskan perkhidmatannya kembali pulih seperti biasa.

Pemilik syarikat penerbangan itu, Ravi Alagendrran berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas dan pertanyaan daripada orang ramai berhubung status operasi penerbangan.

Katanya, timbul kekeliruan apabila terdapat dakwaan dan salah faham mengenai penggantungan lesen penerbangan sehingga menjejaskan kapasiti penumpang dengan penurunan kira-kira 50 peratus.

"Ramai yang tanya kita mengenai operasi... ada yang salah faham sampai tak gunakan penerbangan Rayani Air. Kita tegaskan bahawa operasi kembali pulih seperti biasa.

"Isu membabitkan operasi itu sekadar amaran daripada pihak Kementerian Pengangkutan akibat masalah kelewatan dan pembatalan penerbangan baru-baru ini. Tetapi lesen kita tidak dibatalkan atau digantung, kita masih beroperasi," katanya kepada mStar Online.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, Rayani Air berdepan tindakan digantung operasi jika syarikat penerbangan itu gagal mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Ia disusuli kenyataan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Saripuddin Kasim mengenai kementerian akan memang­gil pengurusan Rayani Air bagi meminta penjelasan berhubung aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan dan operasi syarikat penerbangan berkenaan.

Ravi berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan Saripuddin dan Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman pada 24 Mac lalu bagi memberikan penjelasan berhubung masalah berbangkit.

"Kita telah beri penjelasan kepada mereka di mana masalah berkaitan dengan penyelenggaraan. DCA melakukan pemantauan terhadap operasi kita.

"Kita juga dinasihatkan supaya mengurangkan sektor (penerbangan) sehingga keadaan kembali stabil yang ketika itu berlaku semasa musim cuti sekolah dengan jumlah penumpang lebih ramai. Kita sekarang kembali stabil," katanya sambil menambah bahawa pihaknya akan mengekalkan lapan penerbangan buat masa ini dari Kuala Lumpur ke Langkawi, Kota Baru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Ravi sekali lagi menegaskan bahawa insiden kelewatan dan pembatalan penerbangan baru-baru ini berpunca daripada masalah teknikal yang tidak dijangka, membabitkan pesawatnya.

"Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang dihadapi penumpang dan berterima kasih kepada mereka yang terus memilih Rayani Air.

"Sebarang insiden yang tidak dijangka adalah demi mengutamakan keselamatan penumpang. Kita akan terus menambah baik perkhidmatan pada masa akan datang," katanya sambil menambah bahawa penumpang akan diberikan kemudahan makan dan minum bagi kelewatan penerbangan minimum dua jam, manakala penginapan untuk kelewatan melebihi lapan jam.

Ditanya mengenai hanya dua pesawat yang dimiliki Rayani Air ketika ini, Ravi menjelaskan pihaknya kini sedang mendapatkan dua lagi pesawat baharu.

"Ia kini dalam proses rundingan dan dokumentasi. Kita jangka akan dapat dua pesawat ini menjelang Julai depan.

"Pada masa sama, kita juga sedang menguruskan latihan juruterbang bagi membolehkan kita mempunyai lebih ramai juruterbang pada seawal-awalnya pada Mei ini," ujar Ravi.

Tags / Kata Kunci: Rayani Air , CSA , Kementerian Pengangkutan

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan