Lokasi Empat Kru Dilarikan Masih Belum Diketahui

Diterbitkan: Ahad, 3 April 2016 11:46 AM

Nasib empat kru yang diculik masih belum diketahui.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Lokasi empat kru warga Malaysia dilarikan selepas lebih 36 jam diculik sekumpulan lelaki Filipina dari perairan Laut Sulawesi dekat Pulau Ligitan di Semporna masih belum diketahui.

Pegawai Filipina masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai kumpulan tersebut yang dipercayai melarikan diri ke sebuah pulau dekat Tawi Twai atau jika mereka mendarat di kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf, Pulau Jolo bersama kesemua tebusan mereka.

Ketua Polis Pulau Tawi Tawi, Senior Superintendan Elizalde Quiboyen ketika dihubungi pada Ahad berkata mereka masih belum menerima sebarang maklumat daripada orang kampung dalam kepulauan itu mengenai pendaratan kumpulan penculik bersama tebusan mereka.

"Kami tidak mempunyai maklumat risikan mengenai perkara ini," katanya ketika ditanya jika mereka yakin kumpulan tersebut memasuki Pulau Jolo.

Quiboyen berkata tentera laut dan pengawal pantai Filipina berada dalam langkah berjaga-jaga untuk mengesan kumpulan itu yang dilaporkan melarikan diri ke arah selatan Filipina selepas insiden penculikan tersebut.

Empat kru warga Malaysia, Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, kesemuanya dari Sarawak - diculik dari kapal tunda MV Massive 6 yang kembali ke Tawau selepas menghantar muatan kayu balak ke Manila.

Namun, kumpulan bersenjata itu meninggalkan tiga lagi kru kapal warga Myanmar dan dua Indonesia yang memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada syarikat mereka yang berpangkalan di Miri kira-kira pukul 7 malam Jumaat.

Pihak keselamatan Malaysia dan Filipina sedang menjalankan operasi menjejaki kumpulan bersenjata itu.

Sementara itu, jurucakap Komando Mindanao Barat, Filemon Tan Jr berkata operasi pencarian kini dilakukan di kawasan sekitar Tawi Tawi dan Sulu.

Beliau bagaimanapun berkata mereka tidak dapat mengesahkan sama ada kumpulan Abu Sayyaf terlibat atau sama ada mangsa dibawa ke Filipina.

Tags / Kata Kunci: culik , kumpulan bersenjata Filipina

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan