Ketua Menteri Sarawak Gesa Pengundi Tolak DAP, PKR

Diterbitkan: Ahad, 3 April 2016 3:40 PM

(Ubah saiz teks)

SIMUNJAN: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata DAP seharusnya malu bertanding di kawasan luar bandar kerana parti itu menentang agenda pembangunan luar bandar yang beliau tekankan dalam pentadbirannya.

Sehubungan itu, Adenan meminta rakyat, khususnya pengundi di luar bandar menolak DAP kerana parti itu membantah permohonan beliau untuk mendapat peruntukan tambahan RM1 bilion untuk program pembangunan luar bandar di negeri ini.

Selain itu, katanya PKR sepatutnya malu bertanding di kerusi baharu kerana parti itu membantah keras penambahan 11 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri sehingga sanggup membawa kes berkenaan ke mahkamah, tetapi keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Oleh sebab itu, beliau mengingatkan pengundi termasuk di Simunjan dan Gedong supaya tidak memberi undi kepada calon parti pembangkang iaitu PKR dan DAP pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Adenan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekan Simunjan, kira-kira 120 kilometer dari Kuching hari ini yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Pada majlis berkenaan Adenan mengumumkan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Mohd Naroden Majais sebagai calon bagi kerusi Gedong, iaitu satu daripada 11 kerusi baharu DUN yang akan dipertandingkan pada PRN Ke-11.

Kerusi Simunjan dipecah dua untuk mewujudkan kerusi baharu, iaitu kerusi Gedong.

Naroden merupakan penyandang kerusi Simunjan.

Bagaimanapun Adenan tidak mengumumkan nama calon bagi kerusi Simunjan yang dilobi lapan bakal calon, sebaliknya memanggil enam bakal calon yang hadir pada majlis berkenaan ke atas pentas dan melafazkan taat setia kepada BN serta berjanji menyokong calon yang akan dipilih mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN akan datang.

Mereka ialah Awla Dris, Raili Ali, Ibrahim Seriee, Mohd Yusuf Long, Zainap Halip (wanita) dan Raini Tupong. Dua lagi bakal calon tidak hadir.

Adenan berkata lafaz taat setia itu perlu untuk menjamin mana-mana individu terbabit sekiranya tidak dipilih menjadi calon akan tetap memberi sokongan kepada BN dan calon yang beliau pilih kelak.

"Saya tidak mahu berlaku perpecahan kerana kemenangan besar BN dalam pilihan raya akan datang amat penting untuk kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan negeri ini," tambahnya.

Sementara itu Adenan berkata tidak lama lagi kerajaan negeri akan menurunkan kadar cukai pintu selepas penghapusan cukai tanah yang keluasannya kurang daripada 40 hektar pada bulan lepas.

Katanya, selama dua tahun menjadi ketua menteri beliau telah pun melakukan 51 keputusan yang memberi kesenangan kepada rakyat Sarawak termasuk penghapusan tol, penurunan tambang feri kepada RM1 dan penurunan tarif elektrik.

Tags / Kata Kunci: Adenan Satem , PRN Sarawak , PKR , DAP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan