Malaysia, Jepun Harus Perkukuh Dasar Pandang Ke Timur 2.0

Diterbitkan: Ahad, 3 April 2016 9:38 AM

Tuanku Syed Faizuddin (depan) dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen (tiga, kiri) berkenan bersiar-siar di "Laluan Sakura" selepas majlis resepsi pendaftaran lima pelajar tajaan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) di Josai International University (JIU) Sabtu. Baginda berdua diiringi Canselor JIU, Dr Noriko Mizuta (kanan). -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

TOKYO: Malaysia dan Jepun harus memperkukuhkan hubungan dua hala dalam gelombang Dasar Pandang ke Timur atau LEP 2.0, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda, Malaysia dan Jepun ibarat 'dua sahabat lama' yang mempunyai satu persamaan iaitu 'semangat muda' apabila kedua-dua negara bersetuju mengkaji semula LEP sejak Malaysia melancarkannya pada 1982.

"Selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak ke Jepun pada Mei 2015, kedua-dua pihak mendapati banyak bidang boleh diperkasakan," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah ketika menyampaikan ucap tama di hadapan lebih 3,000 hadirin pada majlis 'Matriculation Ceremony For Academic Year 2016' Josai International University (JIU) di kampus keduanya di Togane, Chiba Prefecture, di sini, Sabtu.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Canselor JIU Dr Noriko Mizuta dan Presidennya Prof Hakuo Yanagisawa.

Kedua-dua tetamu Diraja itu diundang khas oleh JIU sempena penerimaan masuk lima pelajar tajaan YTF yang mengikuti program Kepimpinan Wanita di universiti itu, selama setahun.

Pelajar berkenaan ialah Khuzaimah Ramli@Lahman, 25, Nurul Najwa Halim, 23, Lim Xin shi, 25, Nor Salihah Zaini, 24, dan Nurul Afizan Yaakob, 24.

Turut mengiringi rombongan baginda itu ialah Ahli Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Dr Ng Yen Yen dan Datuk M. Rajasekaran, Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan pemangku Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin universiti di Jepun dan rakan mereka di Malaysia boleh memperkasakan program pertukaran pelajar dan pensyarah serta mengiktiraf pemindahan kredit antara institusi bagi menambah nilai program pertukaran.

"Saya ingin mencadangkan satu tabung biasiswa atau bantuan kewangan untuk pelajar Jepun yang melanjutkan pengajian di Malaysia. Mungkin dimulakan dengan pemberian perjalanan atau saintifik bagi pelajar subjek kritikal yang mampu menyumbang kepada masyarakat Malaysia.

"Tindakan ini bertujuan merangsang penerokaan akademik dan saintifik yang menyokong pembangunan kemahiran berasaskan pengetahuan," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Menurut baginda kerjasama berterusan antara kerajaan Jepun dan Tourism Malaysia, melalui program 'Edu-Tourism' yang mempromosikan pendidikan Malaysia kepada Jepun, menambah erat hubungan antara rakyat kedua-dua negara. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Dasar Pandang Ke Timur , Malaysia , Jepun

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan