Perniagaan Makin Faham GST

Diterbitkan: Jumaat, 1 April 2016 7:30 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ramai yang memuji usaha berterusan yang dilaksanakan Jabatan Kastam dalam menggerakkan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta perniagaan juga sudah semakin memahaminya ketika sistem cukai itu memasuki tahun pertama pelaksanaannya pada 1 April, 2016.

Lebih 400,000 syarikat telah mendaftar bagi GST pada akhir 2015 dan adalah menjadi harapan agar kerajaan dapat mencapai kutipan hasil sebanyak RM39 bilion pada 2016 berbanding RM27 bilion tahun lepas.

Desmond Anil, Pengarah Hernancres Tax Consultancy Sdn Bhd, memuji usaha berterusan Jabatan Kastam itu sejak pengumuman Bajet 2014 oleh kerajaan yang memutuskan untuk melaksanakan GST.

"Daripada peringkat perancangan, teori, penyelesaian masalah hinggalah ke peringkat pelaksanaan, mereka menjalankan banyak program untuk membantu perniagaan seperti program latihan dan bimbingan berterusan," katanya.

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan yang masih di proses pembelajaran, beliau berkata tempoh sukar masih dijangkakan tahun ini sebelum keadaan akhirnya berjalan dengan lancar.

"Kedua-dua pihak, Jabatan Kastam dan perniagaan, perlu terus fleksibel, belajar daripada satu sama lain dan merapatkan jurang hubungan dengan bertukar kepada kaedah menjalankan perniagaan yang lebih baik, melabur dalam modal insan untuk berpengetahuan lebih meluas dalam mewujudkan situasi menang-menang," kata Desmond.

Beliau turut berpendapat kerajaan sewajarnya mengekalkan kadar GST pada enam peratus seperti sekarang, untuk memastikan peralihan lancar daripada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

"Kekalkan standard kadar GST sekurang-kurangnya bagi dua atau tiga tahun lagi. Ia adalah untuk memberi keselesaan kepada beberapa perniagaan yang telah berdaftar dan juga mereka yang telah mendaftar.

"Ini kerana jika anda mula mengubah, pemilik perniagaan dan kakitangan mereka perlu dilatih semula dan dimaklumkan dengan cara yang berbeza," katanya.

Bagi pakar GST, Yap Shin Siang, beliau berkata syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar dengan sistem GST, telah menunjukkan kemajuan dalam mematuhi peraturan dan kini lebih bersedia untuk menyerahkan dokuman penyata pulangan GST (GST-03).

Yap, yang juga rakan kongsi urusan firma perakaunan, YYC  and  Co, mengaitkan perkara itu dengan semasa tempoh beberapa bulan pertama pelaksanaan GST, beberapa syarikat tidak dapat menyerahkannya dalam masa yang ditetapkan malah berunding dengan firma berkenaan pada saat akhir.

"Perniagaan kini semakin bersedia dan mereka boleh menyerahkan dokumen mereka kepada kami lebih awal untuk disemak.

"Bagaimanapun, sama ada mereka lakukannya dengan 100 peratus betul, itu persoalan lain," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, berdasarkan penilaian firma itu ke atas 1,000 syarikat membabitkan GST, ada sebanyak 10 kesilapan lazim dikesan dalam serahan borang GST berkenaan, kebanyakannya melibatkan PKS.

"Kesilapan paling utama adalah mereka membuat tuntutan kredit cukai input bagi kenderaan penumpang yang tidak sepatutnya dibuat, berdasarkan model GST.

"Kedua, tidak mengisi borang tuntutan balik cukai GST dengan betul. Sebagai contoh, dalam perkara 12 mengenai penerimaan kepentingan atau hasil tukaran asing tetapi mereka tidak mendedahkan maklumat itu.

"Ketiga, apabila menjual aset mereka terlupa (memaklumkan) mengenakan caj GST," katanya.

Kesalahan keempat adalah kebanyakan perniagaan runcit masih mengeluarkan invois bertulisan tangan, terutamanya peruncit dalam enam kategori iaitu premis perkakasan, restoran, pasar raya mini dan kedai runcit, kedai buku, farmasi dan premis hiburan, katanya.

Kesilapan utama lain oleh syarikat perniagaan, kata Yap, adalah tidak mengeluarkan invois cukai apabila pembayaran penuh atau sebahagian diterima, tiada dokumen sokongan bagi membuktikan barangan sudah dieksport dan tidak didaftarkan untuk GST atas alasan mereka tidak menyedarinya dan tidak menyimpan butiran akaun berkaitan.

Syarikat-syarikat berkenaan juga tidak memasukkan kiraan bagi cukai output untuk hadiah bernilai lebih RM500, tidak mengenakan caj cukai output apabila melupuskan atau menjual aset perniagaan serta keliru antara pembayaran balik dan pembayaran melibatkan GST.

Yap turut menjangkakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan beberapa audit tidak lama lagi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kalangan usahawan PKS bertindak melakukan pemeriksaan sendiri atau berdepan pelbagai masalah melibatkan tuntutan balik GST berkenaan.

"Pada pendapat saya, memandangkan kita memasuki fasa kedua, majoriti perniagaan masih tidak menyedari kesilapan yang dilakukan atau mereka tidak tahu untuk menyelesaikan masalah terutamanya mengenai butiran GST.

"Daripada rekod kami, kira-kira 80 peratus daripada syarikat akan mempunyai sekurang-kurangnya satu atau dua kesilapan, dan ini peratusan yang tinggi," katanya.

Bagi pengguna, Yap berkata, walaupun mereka tidak mempunyai pilihan dan perlu membayar cukai, mereka perlu melihat pada kesan yang lebih penting memandangkan cukai penggunaan itu telah membantu negara ketika ekonomi semasa tidak menentu dan penurunan perolehan minyak dan gas.

"Kerajaan memerlukan sumber pendapatan, dan jika kita dapat mengekalkan keterbukaan itu, kita akan lebih baik. Tambahan pula, ia lebih telus. Dan kini dengan semua orang menyumbang kepadanya, ia adalah satu kesamarataan, dalam erti kata lain" kata Yap.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM800 juta masih belum selesai atas beberapa sebab.

Antaranya ialah kegagalan untuk menghubungi perniagaan dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan selepas pengeluaran notis untuk memberi maklumat, kegagalan untuk memberi maklum balas kepada pertanyaan dan butiran perbankan yang tidak lengkap.

"Pada April 2015, 7.8 peratus daripada tuntutan diproses dalam tempoh 14 hari, manakala pada Disember, peratusan meningkat kepada 66.6, tetapi masih terdapat halangan dalam pembayaran bayaran balik GST kepada syarikat yang berkaitan," kata Chua.

Tags / Kata Kunci: GST , Cukai Barang dan Perkhidmatan

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan