Edmund Bon Wakili Malaysia Dalam AICHR

Diterbitkan: Jumaat, 1 April 2016 7:52 PM

Edmund Bon Tai Soon.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan melantik Edmund Bon Tai Soon sebagai wakil Malaysia yang baharu ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2016 hingga 2018.

Kementerian Luar (Wisma Putra), dalam kenyataan pada Jumaat berkata Bon menggantikan wakil pertama negara, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang berkhidmat bagi tempoh dua penggal berturut-turut bermula 2010 hingga 2015.

"Dengan pengalaman luas dan pendedahan dalam litigasi kepentingan awam berprofil tinggi selama 18 tahun, pelantikan Bon merupakan manifestasi kerajaan Malaysia dalam membawa isu-isu hak asasi manusia dan kebebasan asasi di barisan hadapan dalam agenda ASEAN melalui AICHR," menurut kenyataan itu.

Bon merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Kolej Universiti London dan memegang Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa dari Universiti Oxford, United Kingdom.

Beliau merupakan Ketua Jabatan (Sivil) di firma guaman AmerBON Advocates serta kini menjadi anggota Majlis Peguam Malaysia.

Beliau pernah mempengerusikan beberapa jawatankuasa di bawah Majlis Peguam Malaysia seperti Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Jawatankuasa Peguam Muda Nasional dan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia.

AICHR telah ditubuhkan pada tahun 2009 di bawah Artikel 14, Piagam ASEAN.

Ia merupakan salah satu organ ASEAN dengan mandat bersilang dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di rantau ini.

Sebagai sebuah badan antara kerajaan yang bertanggungjawab secara langsung di bawah Menteri-Menteri Luar ASEAN, AICHR memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kerjasama hak asasi manusia dengan organ ASEAN, badan sektoral ASEAN dan pihak luar berkaitan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Edmund Bon , AICHR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan