Lebih 90,000 Pembawa Virus HIV Di Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 31 Mac 2016 11:42 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia dianggar mempunyai sejumlah 90,593 pembawa virus HIV pada 2015 berbanding 91,848 orang pada 2014, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata, statistik Malaysia Global AIDS Response pada 2015, menunjukkan sebanyak 108,519 notis kes kumulatif HIV pada 2015 (sejak 1986) berbanding 105,189 notis kes HIV pada 2014, manakala terdapat 22,495 notis kes AIDS yang dilaporkan pada 2015 berbanding 21,384 notis kes AIDS pada 2014.

Sistem pengawasan nasional juga melaporkan bahawa terdapat sejumlah 17,916 kes kematian berkaitan HIV dan AIDS pada 2015 berbanding 17,096 kes pada 2014.

"Data Pengawasan menunjukkan bahawa sebilangan besar wanita dijangkiti ekoran hubungan kelamin dengan lelaki yang telah atau pernah terlibat dalam tingkah laku yang berisiko tinggi," katanya.

Azizah berucap demikian pada majlis penutup Bengkel Serantau Asean bertajuk:"Preventing Intimate Partner Transmission of HIV In Concentrated Epidemics: Integrate Key Strategies and Good Practices Into National Gender Equality Frameworks and Policies", di sini Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan Azman Mohd Yusoff.

Sebagai anggota Jawatankuasa Asean Mengenai Wanita (ACW), Azizah berkata, Malaysia menyokong fungsi utama ACW untuk menyelaras dan memantau keutamaan serantau dan kerjasama dalam isu berkaitan wanita.

"Oleh itu, kementerian berikrar untuk memberi sokongan kerajaan yang luas dalam menangani keperluan dan hak wanita serta kanak-kanak perempuan yang  terkesan dan dijangkiti HIV," katanya.

Bengkel tiga hari itu dianjurkan kementerian untuk membincangkan isu jangkitan daripada pasangan akibat HIV dengan memberi tumpuan terhadap kesihatan dan isu kesaksamaan gender untuk negara anggota Asean dan seterusnya menanganinya dalam konteks Asean. - Bernama

Tags / Kata Kunci: HIV

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan