Ketum: Azlan Arah JPN Buat Kajian Pembabitan Pelajar - Berita Semasa | mStar

Ketum: Azlan Arah JPN Buat Kajian Pembabitan Pelajar

Diterbitkan: Rabu, 30 Mac 2016 8:48 AM

Contoh air ketum. Foto:ROYCE TAN / The Star

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Manmengarahkan Jabatan Pendidikan (JPN) Perlis membuat kajian pembabitan pelajarsekolah menengah di negeri ini berikutan keputusan peperiksaan merosot.

Katanya pengambilan air ketum juga dipercayai menyumbang kepada gejala ponteng sekolah manakala penggunaan gajet seperti telefon bimbit di sekolah yang sukar dibendung menjejaskan tumpuan pelajar terhadap pelajaran.

"Isu ini hendaklah diberi perhatian. Saya mahu kajian turut membabitkan ibubapa dan guru selain pelajar," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita setelah menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri kepada 424 orang guru di dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Khoon Aik, Selasa.

Pengarah JPN Perlis, Izmi ismail turut hadir. Azlan berkata ketagihan air ketum hendaklah dibanteras sebelum menjadi lebih serius sehingga menyebabkan kesan sosial lebih buruk yang menjurus kepada penggunaan najis dadah.

Dalam perkembangan lain Menteri Besar itu menyifatkan tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir duduk semeja dengan pemimpin pembangkang sebagai keterlaluan dan boleh dianggap melanggar disiplin parti.  

Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata tindakan kedua-dua bekas pemimpin itu melanggar prinsip kepartian dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Kita tidak boleh terima pemimpin kita duduk bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib dan kerajaan Barisan Nasional," kata Azlan. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Air Ketum , Azlan Man , Perlis , Pelajar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan