Kemiskinan, Diabaikan Punca Remaja Terjebak Aktiviti Dadah

Diterbitkan: Selasa, 29 Mac 2016 9:23 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mereka miskin, ibu bapa mereka telah bercerai, dan seorang anak lelaki sulung berusia 16 tahun menjadi ketua keluarga termasuk dua adiknya.

Bagi mereka, wang begitu sukar untuk dicari. Sebagai jalan mudah, anak sulung itu membawa kesemua mereka dalam bisnes dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kes tersebut berlaku pada tahun lalu, melibatkan tiga remaja lelaki berusia antara 13 dan 16 tahun, datang dari keluarga yang kucar-kacir.

"Mereka ditahan di Miri, Sarawak, pada 7 Oktober lalu selepas beberapa bulan menjalankan 'bisnes' mereka.

"Perkara ini adalah mengejutkan tetapi ia menunjukkan bahawa ancaman dadah perlu dibanteras dari semua cara supaya golongan belia kita tidak mengambil jalan mudah terjebak dengan aktiviti ini," katanya, sambil menambah bahawa tiga beradik itu didapati positif dadah walaupun merupakan pengedar secara kecil-kecilan.

Mohd Mokhtar berkata, satu lagi kes berlaku di Kota Baru di mana seorang pesalah termuda akibat dadah ditahan pada 20 Ogos tahun lalu.

"Budak lelaki berusia 11 tahun itu ditahan di belakang rumahnya sleepas melakukan aktiviti mencurigakan.

"Dia didapati positif dadah jenis methamphetamine. Siasatan terhadap kedua-dua kes masih sedang dijalankan," katanya.

Mohd Mokhtar berkata, dadah perangsang seperti Ecstasy, pil Yaba, heroin dan ganja merupakan antara yang 'popular' di kalangan belia.

"Dadah-dadah ini lebih murah berbanding dadah yang berharga tinggi seperti syabu dan ice."

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar memainkan peranan mereka dalam memerangi ancaman dadah.

"Tempat terbaik untuk memulakan kesedaran mengenai bahaya dadah ialah di rumah. Dalam hal ini, sekolah terbaik adalah di rumah.

"Kita perlu melihat smeula peranan keluarga, rakan sebaya, sekolah dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan golongan muda menjauhi najis dadah," katanya.

Tambah Mohd Mokhtar, usaha memerangi dadah merupakan satu tanggungjawab bersama.

"Polis melakukan tugas mereka, jangan salahkan polis semata-mata. Kita semua perlu memainkan peranan bersama," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan