Umno Selangor Nafi Paksa Cawangan Tandatangan Deklarasi Sokong PM

Diterbitkan: Isnin, 28 Mac 2016 4:26 PM

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Badan Perhubungan Umno Selangor menegaskan parti itu tidak pernah memaksa mana-mana cawangan di negeri itu menandatangani sebarang bentuk deklarasi termasuk deklarasi menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Timbalan Pengerusinya Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata ini kerana parti itu mengamalkan sistem demokrasi terbuka dan akan memastikan amalan itu terus subur dalam Umno.

"Umno Selangor tidak pernah memaksa mana-mana cawangan membuat apa-apa deklarasi mengenai sokongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri istiadat pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor yang Ke-13 oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini Isnin.

Mat Nadzari yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal Malaysiakini hari ini yang memetik Ketua Umno Cawangan Teratai Hashim Abdul Karim sebagai mendakwa kepimpinan Umno akar umbi di Selangor kini diarahkan menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Najib.

Hashim didakwa menyatakan perkara itu ketika berucap dalam program santai dan penerangan isu-isu semasa bersama-sama Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Bukit Lanchong, Laman Bistari di sini, malam Ahad.

Mengenai perkembangan lain, Mat Nadzari yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali berkata pihaknya akan mengetengahkan beberapa isu penting dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang bermula esok.

Ia termasuklah keperluan memantapkan peranan Selangor State Investment Centre (SSIC Berhad) selaku agensi pemudah cara dalam urusan berkaitan pelaburan negeri untuk memacu pelaburan.

Beliau berkata SSIC perlu mengambil pendekatan proaktif menarik pelaburan ke negeri Selangor dan tidak semata-mata bergantung kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Sementara itu, Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi daripada BN, berkata pihaknya menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor yang mahu kerajaan negeri membuat pindaan sewajarnya terhadap Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962 bagi menangani perbuatan dan pemakaian darjah kebesaran tanpa pengiktirafan baginda.

Beliau berkata tuntutan pindaan ke atas enakmen itu adalah tepat pada masanya ketika adanya segelintir individu yang sanggup menjadi pihak ketiga untuk mendapatkan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf baginda.

"Enakmen ini sangat baik untuk dikemas kini kerana ia dapat melindungi kepentingan Tuanku selaku Sultan," katanya.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan