Ahli Umno Diingat Jangan Mudah Terpengaruh Maklumat Di Media Sosial

Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2016 6:00 PM

azalina

Azalina Othman Said.

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Ahli Umno diingatkan terus memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan dan jangan mudah terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan terutama menerusi media sosial.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata anggota Umno perlu meneliti kesahihan sebarang maklumat yang diterima menerusi media sosial sebelum mempercayai atau menyebarkan kepada pihak lain.

"Kebanyakan pemimpin kita hari ini menghadapi cabaran fitnah yang tinggi akibat salah guna teknologi maklumat. Kita jangan cepat melatah jika mendengar  berita berbentuk fitnah dan serangan peribadi terhadap pemimpin negara terutama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung Umno Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian Pengerang, dekat Pengerang, Ahad.

Ketua Umno Bahagian Pengerang itu turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan sesetengah pihak kerana mudah menyebarkan maklumat tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

Beliau berkata anggota Umno perlu sedar bahawa pembangkang amat gemar untuk mengambil kesempatan dan memutarbelitkan fakta sesuatu isu.

Sehubungan itu, beliau menyeru anggota Umno menjadi ejen kepada kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang betul dengan memberi pencerahan kepada rakyat supaya mereka tidak terpengaruh dengan fitnah disebarkan terutama di media sosial.

Dalam pada itu, Azalina turut meminta anggota Umno supaya bersatu menentang sebarang bentuk tindakan kumpulan gabungan yang menyokong 'Deklarasi Mahathir'.

"Tindakan sekumpulan bekas pemimpin yang duduk semeja dengan pembangkang untuk tandatangani deklarasi itu mencerminkan sifat mereka yang tidak menghormati prinsip demokrasi berlandaskan mandat rakyat.

Gabungan pembangkang itu tiada hala tuju yang jelas," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Umno , Azalina Othman , media sosial

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan