El Nino Dijangka Berkurang Pada Jun

Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2016 9:33 PM

(Ubah saiz teks)

SETIU: Cuaca panas ekoran fenomena El-nino yang melanda negara ketika ini dijangka makin berkurangan pada Jun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Prof Madya Dr Ramzah Dambul berkata ketika ini kebanyakan kawasan bandar telah mencapai petunjuk tahap gelombang haba.

Katanya cuaca panas ini juga sedang menurun namun masih pada peringkat berjaga-jaga.

"Fonomena El Nino ini akan menyebabkan keadaan lebih kering daripada biasa dan kita menjangkakan akan kembali stabil pada bulan Jun ini," katanya selepas program Duta Sains, di sini Ahad.

Pada program berkenaan seramai 16 guru dari tujuh buah sekolah di Parlimen Setiu terlibat sebagai Duta Sains bagi parlimen itu.

Jelasnya, pihak kementerian (MOSTI) juga berhasrat untuk memperluaskan lagi Program Duta Sains ke (kawasan) Parlimen yang lain dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang tersebut.

Katanya buat permulaan empat kawasan Parlimen iaitu Jerlun, Kedah; Tangga Batu, Melaka; Tuaran, Sabah dan Setiu, Terengganu.

"Bagaimapun kita akan melihat tindak balas menerusi program rintis ini...jika memuaskan kita akan perluas ke parlimen yang lain," katanya.

Jelas beliau Duta Sains ini berperanan untuk menangani sebarang permasalahan yang wujud di dalam komuniti dengan menggunakan pendekatan berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Beliau berkata ia juga bagi membentuk kekuatan golongan pelapis dalam bidang STI yang bakal menjadi penentu di dalam kelansungan sesebuah negara untuk terus maju dan membangun.

Di GEORGE TOWN, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, jumlah kes demam denggi seluruh negara ekoran cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino dilaporkan menurun sebanyak 113 kes bagi minggu ke 12 (20 hingga 26 Mac) berbanding minggu ke 11 tahun ini.

Dr Hilmi berkata bagi minggu ke 12 sebanyak 1,877 kes dilaporkan berbanding minggu ke 11 iaitu 1,990 kes dengan dua kematian direkodkan minggu lepas.

"Sejak dua minggu lepas, jumlah kes demam denggi dilaporkan menurun.

"Bagaimanapun orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk membersihkan kawasan rumah kerana jentik-jentik boleh hidup hingga enam bulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Permuafakatan Komuniti 1Malaysia Peringkat Pulau Pinang, Ahad.

Beliau berkata secara keseluruhannya sebanyak 34,801 kes demam denggi dilaporkan sejak Januari hingga semalam berbanding 32,321 kes bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 7.7 peratus atau 2,480 kes.

"Bagi tempoh yang sama jumlah kematian yang direkodkan adalah 85 orang berbanding 101 kematian pada tahun lepas iaitu menurun sebanyak 15.8 peratus," katanya.

Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata sejumlah 855 lokaliti wabak masih aktif dilaporkan dengan 25 lokaliti wabak baru dilaporkan semalam dan sebanyak 545 lokaliti wabak terkawal serta 86 wabak tidak terkawal direkodkan.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan menerima sembilan laporan masalah kesihatan berkaitan cuaca panas melampau di wilayah utara termasuk satu kes terbaru strok haba sepanjang minggu lepas.

Katanya tujuh daripada kes yang dicatatkan itu berkaitan masalah kelesuan haba iaitu satu kes di Perlis dan enam kes di Kedah manakala dua kes di sebabkan kekejangan haba dilaporkan di Kedah.

Kes terbaru strok haba itu dilaporkan di Perak dan dengan ini menjadikan jumlah kes strok haba kepada enam setakat ini, katanya.

"Masalah kesihatan berkaitan cuaca panas melampau itu berlaku apabila individu terdedah kepada suhu panas yang tinggi menyebabkannya mengalami simptom seperti pening kepala, pengsan, muntah dan peluh yang berlebihan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya kurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan pada siang hari agar tidak terdedah dengan cuaca panas kerana kebanyakan kes strok haba dan keletihan strok berpunca daripada aktiviti fizikal intensif," katanya.

Dr Hilmi berkata Kementerian Kesihatan akan meneruskan pemantauan bagi memastikan khidmat terbaik diberi kepada mereka yang berdepan dengan masalah berkaitan cuaca panas ini.

Dalam perkembangan lain beliau berharap kerajaan negeri Pulau Pinang dapat mencari jalan penyelesaian berhubung projek ternakan udang di kawasan Kuala Jalan Bahru, Balik Pulau dekat sini yang didakwa menjejaskan alam sekitar dan hasil tangkapan laut.

Katanya projek itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan lebih 1,000 nelayan di situ malah akan memusnahkan sumber hidupan laut seperti ikan, udang dan ketam di kawasan berkenaan ekoran pembuangan sisa beracun dari kolam ternakan itu. 

Pada Sabtu, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta nelayan menggesa projek ternakan udang di kawasan itu dihentikan kerana mendakwa hasil tangkapan nelayan pantai di jeti Kuala Sungai Pinang, Pantai Acheh, Kuala Jalan Bahru, Kuala Sungai Burung dan Pulau Betong terjejas sejak projek itu bermula.

Di SEREMBAN, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, kira-kira 15 kes kebakaran hutan dilaporkan berlaku di negeri itu sepanjang musim cuaca panas dan kering ekoran El-Nino.

Katanya, selain itu pihaknya kini menerima banyak panggilan dalam sehari termasuk kes kebakaran hutan yang berlaku serentak di beberapa kawasan.

"Dalam satu hari, kebakaran berlaku di dua atau tiga tempat...setakat ini kita tak mempunyai masalah berkaitan bekalan air untuk proses memadamkan api," katanya.

Pada Ahad, enam kes kebakaran hutan dilaporkan berlaku iaitu di lebuhraya Seremban-Port Dickson (satu hektar), Tanjung Tuan Telok Kemang (2.5 hektar), KM279 Lebuhraya Utara Selatan (1.5 hektar), Taman Bukit Sendayan (0.5 hektar), Jalan Jasmin Senawang (2.5 hektar) dan berhampiran Universiti Antarabangsa Manipal di Nilai (0.5 hektar).

Satu kebakaran melibatkan tapak pelupusan sampah di Port Dickson.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam semua kebakaran itu, katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: El Nino , cuaca panas

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan