Dokumen Pembelian Banglo Bukan Daripada BN

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mac 2016 11:20 AM

Datuk Abdul Rahman Dahlan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dokumen-dokumen berkaitan pembelian banglo Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bukan diperolehi daripada Barisan Nasional (BN) tetapi DAP dan PKR, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Dalam satu siri 'tweet' pada Jumaat, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini menyelar Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, menyatakan bahawa kenyataan mempertahanakan Guan Eng yang dibuatnya sebagai  satu 'balasan yang direka-reka dalam keadaan tergesa-gesa'.

"Bukan BN yang memperoleh dokumen-dokumen mengenai skandal rumah itu. Mungkin Chin Tong perlu menyemak dengan rakan-rakan DAP dan PKR yang Lim Guan Eng pernah bidas sebelum ini!," tulis Abdul Rahman di Twitter.

Beliau seterusnya menyenaraikan beberapa perkara tentang mengapa BN tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini.

"Bukan BN yang memaksa Lim Guan Eng untuk membeli hartanah pada harga bawah nilai. Berhenti menyalahkan orang lain!

"Bukan BN yang memaksa Lim Guan Eng untuk membeli hartanah tersebut daripada seorang wanita ini, di mana bosnya adalah pemilik KLIDC.

"Sudah tentu bukan BN juga yang meminta Ambiga dan Majlis Peguam mencadangkan supaya Lim Guan Eng meletak jawatan," tulisnya di Twitter.

Abdul Rahman berkata, masa, penjual dan harga banglo itu tidak ditentukan oleh BN.

"Jadi bagaimana YB Liew Chin Tong dan Ng Wei Aik cuba untuk menyalahkannya sebagai konspirasi BN untuk pilihan raya Sarawak?," katanya merujuk kepada Ahli Parlimen Tanjong yang mempertahankan Guan Eng dalam satu kenyataan awal hari Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua ahli Parlimen itu telah 'memalukan diri mereka sendiri' dan 'alasan lemah' mereka hanya akan melemahkan kedudukan Guan Eng sebagai ketua menteri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan