"Jangan Putar Belit Kenyataan Saya" - TMJ

Diterbitkan: Khamis, 24 Mac 2016 5:00 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menolak dakwaan kononnya beliau menyatakan pendirian politik dengan berpihak kepada kepimpinan sedia ada.

Tegas Tunku Ismail, kenyataan atau tegurannya sebelum ini juga tidak ditujukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ia tidak ditujukan kepada Tun Mahathir atau kepada sesiapa. Ia ditujukan kepada sistem. Saya tidak menyokong sesiapa yang korup.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada media agar tidak memutarbelitkan kata-kata saya atau mengambil kenyataan saya di luar konteks," katanya menerusi posting di laman Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis.

Pada Rabu, Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan yang menyentuh mengenai krisis perlembagaan yang berlaku pada 1992.

Kenyataan itu kemudian dipetik oleh pihak tertentu seolah-olah beliau menegur Dr Mahathir serta menyifatkan veteran politik itu sebagai gila kuasa.

Selain itu menerusi posting berkenaan yang dibuat dalam bentuk soal jawab antara Tunku Ismail dan wartawan, beliau menjelaskan bahawa teguran yang dibuat selama ini adalah menjurus kepada Kerajaan Pesekutuan.

"Sila baca dengan teliti apa yang saya katakan. Komen yang saya buat sebelum ini diarahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

"Saya memberikan komen tersebut untuk memastikan dan mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar perkara itu (korup) tidak berlaku lagi tanpa mengira siapa pemimpin," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan