Tindakan Halang Mat Sabu Masuk Sarawak Tiada Motif Politik - Berita Semasa | mStar

Tindakan Halang Mat Sabu Masuk Sarawak Tiada Motif Politik

Diterbitkan: Rabu, 23 Mac 2016 8:51 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan menghalang Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu atau Mat Sabu daripada memasuki Sarawak bukan bermotifkan politik, sebaliknya, ia adalah prerogatif negeri itu, kata Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata individu yang tidak terlibat dengan politik juga pernah dihalang memasuki Sarawak kerana melakukan tindakan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian perpaduan kaum di negeri itu.

"Ia diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri Sarawak. Sebab itu sesiapa yang dihalang patut cermin diri sendiri supaya menjadi warganegara yang bertanggungjawab menjaga keharmonian hubungan antara kaum dan agama di Sarawak.

"Apatah lagi Sarawak ini begitu kompleks dengan latar belakang hubungan kaum dan agama yang pelbagai," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Rabu.

Pada Selasa, Mat Sabu ditahan dan dihalang daripada memasuki Sarawak oleh Jabatan Imigresen negeri itu sejurus tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira pukul 10.40 pagi dengan hanya dimaklumkan bahawa ia adalah arahan Pejabat Ketua Menteri.

Tags / Kata Kunci: Mat Sabu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan