Mahathir Terdesak - Salleh

Diterbitkan: Rabu, 23 Mac 2016 9:28 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan betapa terdesaknya beliau melalui tindakan terbarunya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Beliau dalam keadaan terdesak," katanya merujuk kepada saman yang difailkan oleh Dr Mahathir dan dua pihak lagi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil hari ini terhadap Perdana Menteri.

"Tun Mahathir cuba untuk menggulingkan Perdana Menteri melalui Umno. Beliau gagal. Tun Mahathir cuba mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen.

Beliau gagal. Sekarang Tun Mahathir cuba untuk menyaman. Tuduhannya adalah palsu, jadi beliau akan gagal lagi," kata Salleh dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir, 90, bekas naib ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas anggota UMNO Anina Saadudin, 41, memfailkan saman terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Najib telah melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dengan menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri, pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.

Mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi supaya Najib yang dinamakan sebagai defendan tunggal, membayar ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi teruk berjumlah RM42 juta kepada Kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai tindakan saman itu, Salleh berkata: "Tun Mahathir telah kehabisan opsyen. Tindakan ini menunjukkan beliau sudah tidak ada lagi saluran politik untuk digunakan."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan