PM Minta Umat Islam Berlapang Dada Tangani Perbezaan Pendapat

Diterbitkan: Isnin, 21 Mac 2016 10:08 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam di negara ini supaya berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat.

Beliau berkata Islam membenarkan perbezaan pendapat, menyuarakan pandangan dan bantahan tetapi ia harus dilakukan dengan cara beradab dan konsisten khususnya dalam memelihara perpaduan sesama Islam.

"Janganlah kerana perkara kecil, titik bengit atau khilafiah, kita berbalah sehingga mendorong kepada permusuhan, kebencian dan menaruh prasangka serta label yang tidak sepatutnya daripada seorang Muslim kepada saudara Muslim yang lain," katanya.

Semasa berucap merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 bagi Tahun 1437H/2016M di sini, malam Isnin, Najib berkata matlamat untuk membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul juga mestilah datang dengan pakej dan kaedah yang betul.

"Atas nama membetulkan itu dan ini, sudah pasti akan menjadikan rasa aman, harmoni dan kebersamaan yang kita warisi ini, goyah.

"Selain itu, bersesuaian dengan komposisi masyarakat yang berbilang-bilang kaum, agama dan budaya khususnya, semangat muhibah, perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat majmuk perlu dipelihara sebaiknya,"katanya.

Najib menjelaskan bahawa kerajaan sememangnya amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama terutamanya yang melibatkan persefahaman sesama umat Islam dalam suatu kepentingan bersama.

Malah, katanya, kerajaan tidak pernah menutup pintu kerjasama dan rundingan dengan sesiapa sahaja sama ada individu, mana-mana parti mahu pun badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya kerajaan juga tidak pernah mengenakan apa-apa syarat kerana baginya kepentingan umat dan rakyat sentiasa diutamakan berbanding kepentingan kelompok-kelompok tertentu.

"Apabila kita menutup pintu-pintu persefahaman dan rundingan demi kepentingan ummah, akhirnya kita akan menjadi bagai nasib Pak Pandir 'menang sorak, kampung tergadai'," katanya.

Perdana Menteri berkata untuk mencapai perpaduan, umat Islam di negara ini mesti berusaha sedaya upaya menepis segala serangan pemikiran yang datang dari pelbagai sudut dengan tujuan mengaburkan fikrah dan keyakinan terhadap kesyumulan Islam.

"Serangan pemikiran seperti liberalisme, pluralisme, humanisme dan sekularisme, misalnya, perlu ditangani dengan penerangan yang lebih jelas dan menyeluruh oleh para ulama dan cendekiawan Islam agar kesatuan fikrah umat Islam di negara ini tidak goyah dan tergugat," katanya.

Najib turut berharap tilawah kali ini mampu menjana penghayatan umat Islam dalam memahami isi kandungan al-Quran agar dapat diimplementasikan dalam urusan kehidupan seharian.

Diadakan buat julung kalinya di Putrajaya, tilawah itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Tilawah bertema 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu bermula malam ini sehingga 26 Mac.


Setiap negeri menghantar seorang qari dan qariah menyertai tilawah itu, yang turut disertai oleh johan menunggu qari dan qariah tahun lepas iaitu Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dari Kelantan dan Siti Husna Hassan dari Pahang.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan