Guan Eng Ke Hainan, SPRM Tak Dapat Rakam Keterangan Minggu Ini

Diterbitkan: Isnin, 21 Mac 2016 10:48 PM

Lim Guan Eng

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak dapat bekerjasama dengan mana-mana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian rumahnya minggu ini kerana beliau akan berada di China sehingga minggu depan, kata setiausaha politiknya Wong Hon Wai.

Dalam surat kepada SPRM yang dikeluarkan pada Isnin, Hon Wai berkata Guan Eng akan berada di Hainan, China, dalam lawatan rasminya dan hanya dapat dihubungi untuk keterangannya direkodkan pada minggu hadapan.

"Beliau mengalu-alukan sebarang penyiasatan dijalankan dengan harapan ia boleh membuktikan bahawa dirinya telah mentadbir Pulau Pinang dengan cara yang bersih sehingga kerajaan Pulau Pinang dipuji oleh Transparency International," katanya.

Hon Wai berkata Guan Eng telah meminta agar sebarang penyiasatan SPRM disegerakan untuk membuktikan bahawa tuduhan terhadapnya adalah tidak berasas dan palsu.

"Ia adalah serangan-serangan politik yang bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya. Isu penjualan tanah Taman Manggis, yang telah dilakukan melalui tender terbuka, bukanlah sesuatu yang baharu dan ia telah dibangkitkan oleh parti-parti politik sebelum dan semasa pilihan raya umum 2013 ," katanya.

“Ketua menteri ingin tahu hasil siasatan SPRM yang telah pun dijalankan begitu lama samada secara rasmi menerusi surat ataupun melalui pengumuman SPRM melalui media massa,” katanya.

Guan Eng telah dikritik kerana didakwa membeli banglo di bawah harga pasaran selepas dakwaan itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya di Parlimen.

Tags / Kata Kunci: isu banglo , Lim Guan Eng , SPRM , rakam keterangan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan