Sekolah Tutup Jika Suhu Lebih 37 Darjah Celcius, Lebih 72 Jam

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mac 2016 8:51 AM

Dalam cuaca panas, kanak-kanak berusia lima tahun, Aisyah Zahra meneguk air sambil berdiri di hadapan peti sejuk rumahnya. — AZMAN GHANI/The Star

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jawatankuasa khas mengenai cuaca panas mengeluarkan garis panduan tetap mengenai pelan tindakan menangani gelombang haba merangkumi tiga peringkat amaran yang berkuat kuasa serta-merta.


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia melibatkan semua pihak berkaitan termasuk tindakan oleh Kementerian Pendidikan untuk menutup sekolah di sesuatu kawasan jika suhu melebihi 37 darjah celcius selama lebih 72 jam, iaitu dalam amaran peringkat kedua.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata 'Kecemasan Gelombang Haba' pula akan diisytihar di sesuatu kawasan jika suhu meningkat melebihi 40 darjah celcius selama atau lebih tujuh hari.

"Bagaimanapun, pelan tindakan bagi menghadapi situasi buruk seperti itu akan diperhalusi oleh jawatankuasa teknikal melibatkan semua kementerian dan agensi terlibat pada Isnin depan," katanya pada sidang media, di sini Jumaat.

Beliau berkata pada amaran peringkat pertama, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mengeluarkan amaran gelombang haba jika suhu sesuatu kawasan melebihi 37 darjah celcius selama 72 jam.

"Kementerian Pendidikan seterusnya boleh mengeluarkan arahan untuk menghentikan aktiviti pelajar di luar kelas seperti aktiviti kokurikulum, perhimpunan, perkhemahan dan sebagainya," katanya.

Wan Junaidi berkata pada peringkat itu, nasihat akan turut dikeluarkan kepada orang ramai untuk mengehadkan aktiviti luar terutama bagi warga emas dan kanak-kanak, menghentikan segala aktiviti sukan di tempat terbuka, nasihat keselamatan pekerja dan nasihat berkaitan masalah strok haba.

Beliau berkata amaran peringkat kedua pula dikeluarkan jika suhu melebihi 37 darjah celcius selama lebih 72 jam dan peningkatan suhu berterusan yang merangkumi arahan penutupan sekolah.

"Pada peringkat ini, jawatankuasa khas akan bermesyurat untuk bincang tindakan kecemasan) bagi menangani cuaca panas melampau yang berpanjangan dan impak kepada pelbagai sektor," katanya.

Wan Junaidi berkata ramalan Jabatan Meteorologi menjangkakan cuaca panas dan kering yang dialami akibat fenomena El-Nino ketika ini akan berakhir pada Mei atau Jun.

Tags / Kata Kunci: sekolah tutup , suhu tinggi , panas melampau

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan