Saya Sokong Penuh Pentadbiran Najib - Samy Vellu

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mac 2016 6:41 PM

Samy Vellu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, tiada siapa pun yang berjumpa beliau untuk memintanya menandatangani 'Deklarasi Mahathir' kerana mereka tahu beliau menyokong penuh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas presiden MIC itu berkata, beliau percaya kumpulan di sebalik deklarasi itu, termasuk pemimpin pembangkang, sedar tentang pendiriannya mengenai perkara itu.

"Saya adalah penyokong kepimpinan sekarang dan keputusan rakyat (yang memilih kerajaan sedia ada pada pilihan raya umum lepas).

"Soal perkauman sudah terhapus...itu lebih penting bagi kami daripada penentangan remeh yang beliau (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) cuba wujudkan.

"Saya sentiasa menyokong perdana menteri yang mentadbir sekarang," kata Samy Vellu, yang juga Duta Khas Malaysia Ke India dan Asia Selatan bagi Infrastruktur.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian Anugerah Pencapaian Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Ke-14 Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu.

Turut hadir Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan.

Samy Vellu berkata, Najib menunaikan tugasnya dengan amat baik dan rakyat negara ini berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Mengenai anugerah itu, Samy Vellu berkata, beliau bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar berkenaan dalam peperiksaan UPSR 2015.

Pada majlis itu, seramai 771 pelajar yang mendapat 7A dalam peperiksaan UPSR 2015 dan sebanyak 205 pengetua Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) menerima anugerah daripada Maju Institute of Educational Development (MIED).

Sementara itu, Samy Vellu yang juga pengerusi MIED, mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan guru yang tekun berusaha memastikan kejayaan pelajar berkenaan.

MIED ialah sebuah pertubuhan swasta bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan pinjaman pendidikan untuk pelajar berkelayakan tetapi kurang berkemampuan melanjutkan pengajian. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan