Ibu Bapa Pilih Taman Tema Air Lokasi Riadah Pada Musim Panas - Berita Semasa | mStar

Ibu Bapa Pilih Taman Tema Air Lokasi Riadah Pada Musim Panas

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mac 2016 12:58 PM

Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

ISKANDAR PUTERI: Taman tema air di Legoland menjadi pilihan ibu bapa pada musim panas ini untuk membawa anak-anak beriadah hujung minggu ini terutama menjelang hari terakhir cuti persekolahan.

Program 'Wave Pool Party' taman tema berkenaan bermula 11 Mac lalu yang turut menawarkan harga tiket lebih rendah iaitu RM50 seorang bagi kemasukan pada pukul 5 hingga 9 malam itu turut menjadi dorongan kepada pengunjung datang ke destinasi pelancongan itu.

Berikutan cuaca panas yang melampau juga, mereka lebih selesa berada di tempat sejuk seperti taman tema air bagi mengelak risiko pelbagai penyakit yang disebabkan cuaca panas.

Seorang daripada pengunjung taman tema air di Legoland, Suhaiman Mohd Yasin, 38, ketika ditemui Bernama berkata dirinya memilih taman tema air kerana ia merupakan tempat paling sesuai buat masa ini selain dapat mengimbangi rasa panas.

Suhaiman, yang berasal dari Melaka, berkata sebelum ini, dia membawa anak-anaknya ke pantai Port Dickson untuk mandi-manda bagi mengisi cuti sekolah.

Sementara itu, pekerja di sektor swasta, Faizal Hussin berkata musim panas ini menyebabkan kawasan taman tema air menjadi pilihannya untuk membawa keluarga kerana selesa dan sejuk berbanding zoo serta taman tema yang terbuka.

Selain itu, faktor kawasan air semula jadi seperti pantai dan air terjun terletak sangat jauh dari kawasan bandar raya ini menyebabkan dia memilih taman tema air yang berdekatan.

Seorang lagi pengunjung yang mahu dikenali sebagai Elvin berkata dia membeli tiket masuk tahunan bagi keluarganya untuk mengunjungi Legoland apabila tiba musim cuti.

"Saya bawa dua orang anak saya ke sini untuk mandi-manda dan berseronok sempena cuti sekolah ini. Selain itu saya tinggal berhampiran dengan Legoland," katanya yang menetap di Bukit Indah di sini.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Legoland , Wave Pool Party
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan