Zoo Negara Tawar Program Sehari Bersama Pasangan Panda Gergasi

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mac 2016 6:26 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Berita baik buat pencinta panda. Kini anda berpeluang merasai pengalaman menjaga pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang melalui 'Giant Panda Keeper Programme' anjuran Zoo Negara.

Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Rosly@Rahmat Amat Lana berkata program bermula sejak 13 Mac lalu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menyelami tugas sebagai penjaga pasangan panda gergasi itu di samping mendekatkan diri mereka dengan haiwan tersebut.

"Tugas sebagai penjaga panda itu bukan mudah, melalui program ini mereka perlu menjalankan tugas menyediakan makanan kepada pasangan panda itu dan membersihkan najis di kawasan kandang mengikut waktu yang ditetapkan. 

"Antara tugas mereka termasuklah membantu menyediakan kek panda, lobak merah, epal, memotong buluh betong dan mencuci kandang pasangan panda gergasi itu selain memantau keadaan panda sepanjang masa dengan dibantu pegawai-pegawai zoo di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC)," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat. 

Katanya penyertaan terbuka kepada orang ramai yang berumur 16 tahun ke atas dan hanya dihadkan kepada tiga orang sahaja setiap hari, bermula dari 8 pagi hingga 4 petang.

"Setiap penyertaan dikenakan bayaran sebanyak RM150 setiap seorang bagi warganegara dan RM300 untuk warga asing, merangkumi sarapan pagi dan makan tengah hari, sehelai T-shirt dan sijil penyertaan," katanya. 

Rosly berkata program ini adalah secara berterusan dan pihaknya turut menawarkan program sukarelawan untuk menjaga haiwan-haiwan lain di Zoo Negara kepada orang ramai. 

Katanya pihak yang berminat untuk menyertai 'Giant Panda Keeper Programme' di GPCC dan program sukarelawan Zoo Negara, boleh menghubungi Jabatan Pendidikan, Perhubungan Awam dan Pemasaran Zoo Negara di talian 03-41083422 dan e-mel : education@zoonegaramalaysia.my.

"Untuk maklumat lanjut mengenai 'Giant Panda Keeper Programme', mereka juga boleh melayari laman web kami iaitu http://www.zoonegaramalaysia.my/index.htm," katanya.

Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan oleh Beijing, tiba di negara ini pada 21 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing. -- Bernama



Tags / Kata Kunci: Xing Xing , Liang Liang , panda gergasi , Zoo Negara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan