Tanaman Padi Tertangguh, 'Periuk Nasi' Terjejas

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mac 2016 8:34 AM

Tali air menjadi kering kontang akibat fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca panas dan kering di sekitar Alor Setar. Keadaan panas dan kering yang melanda seluruh negara ini dijangka berlanjutan beberapa bulan lagi sehingga Jun depan. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pesawah padi di Kedah dan Perlis telah menyediakan petak, mengusahakan dan menyediakan tanah untuk memulakan tanaman yang masuk musim baharu. Tetapi kini mereka hanya duduk menunggu!

Mereka tidak boleh menanam kerana hujan tidak turun dan terdapat masalah kekurangan air. Mereka terpaksa melambatkan kerja-kerja tanaman bagi musim baharu yang sepatutnya dilakukan sekarang dan April.

Mad Kamal Ismail, 48, dari Kampung Tempayan Pecah, Mukim Ayer Hitam berkata petak tanahnya telah sedia untuk kerja-kerja penyemaian, dua minggu lalu.

"Saya sedang tunggu air dilepaskan tetapi ia belum dilakukan lagi. Masalahnya sekarang, walaupun air dilepaskan, ia akan mengalir ke dalam tali air utama, yang terletak jauh dari petak tanaman saya.

"Oleh kerana paras air yang begitu rendah sekarang, saya takut ia mungkin tidak mengalir ke dalam terusan kecil untuk sampai ke petak tanaman saya," katnya sambil menambah pada masa ini, terusan sub itu telah kering.

Katanya, 10 relong (2.8 hektar) kawasan sawah padi telah kering kerana air dari tali air utama tidak dapat masuk ke kawasan itu.

"Masalah kekurangan air telah memberi kesan kepada hampir semua petani di Kedah dan Perlis," katanya.

Mad Kamal berkata satu-satunya cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan membanjiri kawasan tanaman dengan air dari empangan Pedu, Muda, Beris dan Ah Ning.

Abdullah Wan Teh, 45, dari Hutan Tualang di Ayer Hitam berkata kawasan tanaman padinya juga turut menghadapi masalah yang sama sejak Januari.

"Pendapatan saya telah terjejas kerana saya bergantung semata-mata kepada sawah padi," katanya.

Seorang lagi pesawah, Yudoh Kamis, 75, dan Hatijah Ahmad Saad, 63, dari Kampung Kok Klang di Chuping, Perlis, juga tidak dapat melakukan apa-apa penanaman.


Yudoh (kanan) bersama rakan pesawahnya, Hatijah Ahmad Saad.


"Sekarang, saya tidak mempunyai pendapatan dan bergantung kepada anak saya yang memberikan saya wang untuk perbelanjaan harian saya," kata Yudoh.

"Terdapat kira-kira 100 relong sawah padi di Kok Klang dengan 300 keluarga. Semua menghadapi masalah yang sama."

Sementara itu Bernama melaporkan kerajaan negeri Kedah mungkin mempertimbangkan untuk melakukan pembenihan awan atau penjadualan semula tanaman padi sekiranya keadaan cuaca panas dilihat semakin menjejaskan aktiviti pertanian.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata bagaimanapun, beliau mahu mendengar taklimat daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkenaan aktiviti pertanian khususnya penanaman padi dan kedudukan paras air sebelum memutuskan apa-apa tindakan.

"Kita akan bincang dengan jabatan-jabatan berkaitan mengenai tindakan yang perlu diambil akibat kemarau berpanjangan ini kerana kita bimbang ia akan jejaskan pertanian," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata paras air di tiga empangan utama di Kedah berada pada paras selamat bagi menampung kegunaan domestik, industri dan pertanian sekiranya fenomena El Nino berterusan.

Sehingga 13 Mac lepas, Empangan Pedu mencatatkan bacaan 917 juta meter padu air atau 85 peratus, empangan Ahning sebanyak 210 juta meter padu atau 83 peratus manakala Empangan Muda ialah 87 juta meter padu atau 56 peratus.

Tags / Kata Kunci: kemarau , El Nino , sawah padi

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Kolumnis

iklan

Iklan