Umno Tak Terjejas Dengan Kempen 'Anti-Najib'

Diterbitkan: Rabu, 16 Mac 2016 3:21 PM

Datuk Seri Hishammuddin Hussein

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein yakin kempen anti-Najib yang bertujuan menyingkir perdana menteri tidak akan menjejaskan parti atau presiden.

Hishammuddin berkata, walaupun banyak perkara telah diperkatakan terhadap Umno dan Malaysia pada tahun lepas, baik parti atau negara tidak pernah terjejas.

"Kita hanya perlu berdepan dengannya. Mereka telah membuat banyak perhimpunan dan terdapat ramalan dilakukan terutamanya pada tahun lepas.

"Undi tidak percaya, (komen) bajet tidak diluluskan, pemimpin-pemimpin dunia tak akan datang ke Malaysia dan perhimpunan Umno tak akan berjalan lancar, tetapi itu tidak berlaku, tiada satu pun yang berlaku," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Ditanya mengenai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' yang akan diadakan pada 27 Mac, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata 'ia hanyalah satu lagi perhimpunan'.

"Kami akan menghadapinya. Akhirnya orang ramai yang akan menentukannya,  bukan suara-suara yang menjerit kuat.

"Mereka tidak mewakili suara majoriti," katanya.

Mengenai gesaan supaya timbalan presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti, Hishammuddin berkata anggota Umno dan bukan hanya ahli-ahli Majlis Tertinggi telah menggesa perkara itu.

"Apa pun, kita perlu tunggu sehingga mesyuarat kerana kita tidak mewakili Majlis Tertinggi.

"Saya telah katakan bahawa apa yang penting berkaitan perkara ini adalah disiplin parti dan saya rasa ia akan menjadi isu yang akan dibincangkan pada mesyuarat majlis tertinggi pada 25 Mac," katanya.

Beliau berkata hanya Majlis Tertinggi mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

"Semua orang boleh berkata apa sahaja yang mereka suka, tetapi selagi Majlis Tertinggi tidak bermesyuarat dan tiada apa yang dapat disahkan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan