Stok Simpanan Bauksit Dijangka Dikosongkan

Diterbitkan: Rabu, 16 Mac 2016 10:43 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Biarpun pelaksanaan moratorium terhadap perlombongan bauksit di Kuantan kini memasuki bulan ketiga, namun kawasan penyimpanan bahan mineral itu di Pelabuhan Kuantan didapati masih mempunyai longgokan bahan tersebut.

Bagaimanapun tinjauan Bernama ke kawasan stok simpanan itu dari atas Bukit Penggorak yang berketinggian 997 meter dari paras laut mendapati jumlah longgokan bauksit telahpun berkurangan berbanding sebulan yang lepas.

Dianggarkan hanya tinggal 10 peratus daripada 10 juta metrik tan bauksit masih berada di kawasan penyimpanan itu.

Hasil tinjauan lebih tiga jam itu juga mendapati kerja-kerja pengosongan dan pemunggahan bahan mineral itu ke atas kapal tongkang giat dilakukan dengan menggunakan lori.

Kabinet dalam mesyuarat pada 6 Jan lepas, memutuskan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Jan.

Keputusan itu dibuat dengan menggariskan beberapa langkah perlu diambil oleh pihak industri yang terlibat dalam tempoh tiga bulan bagi menyelesaikan masalah pencemaran akibat aktiviti berkenaan, iaitu pengosongan stok simpanan bauksit, mewujudkan sebuah kawasan simpanan bersepadu dan sistem pembersihan sisa bauksit.

Sementara itu, sumber di Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) mengakui masih ada baki stok simpanan di pelabuhan ekoran pihak pelabuhan terikat dengan beberapa protokol seperti permit pengeluaran dan urusan pengangkutan.

"Selepas permit diperoleh baharu kami boleh membuat tempahan kapal, yang juga akan mengambil masa untuk belayar ke sini," katanya.

Beliau bagaimanapun optimis bahawa baki stok simpanan bauksit yang masih berada di pelabuhan itu boleh dihabiskan sebelum tempoh moratorium tamat iaitu pada 15 April ini.

Katanya KPC berharap kerajaan akan mengumumkan prosedur operasi standard perlombongan bauksit kerana setakat ini, perkara yang meliputi lokasi baharu stok simpanan dan kaedah pengangkutan serta perlombongan masih belum dibentangkan.

"KPC melakukan apa yang diarahkan iaitu mengeluarkan semua stok simpanan sedia ada dan membersihkan pelabuhan. Tapi perlombongan bauksit melibatkan banyak pihak yang perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kejadian lepas tidak berulang.

"KPC juga dengar tempoh moratorium boleh dipanjangkan jika masih tiada kata putus. Kami harap ini tidak benar kerana ini adalah perniagaan. Kami harap pihak terbabit boleh melakukan sesuatu," katanya.

Sumber itu berkata KPC juga bersedia dengan cadangan perubahan yang akan dilakukan dalam kerja mengeksport bahan mineral itu dengan mengambil kira cara pelaksanaan sebelum ini bagi tujuan penambahbaikan.

Tags / Kata Kunci: Bauksit , Kuantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan