PAS Jangka Bentang RUU Hudud Pada Mei

Diterbitkan: Rabu, 16 Mac 2016 7:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS mungkin akan membentangkan rang undang-undang mengenai hudud pada sidang Parlimen akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata jangkaan itu berdasarkan kepada 'maklum balas positif' daripada Kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom) memberikan maklum balas positif.

"Ini memberi petunjuk yang jelas bahawa rang undang-undang ini mungkin dibentangkan pada mesyuarat akan datang," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kerjasama politik baharu antara PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) di sini pada Rabu.

Walau bagaimanapun, Takiyuddin berkata keputusan untuk membentangkan rang undang-undang itu berada di pihak Kerajaan Persekutuan dan bukan parti Islam itu.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Baru berkata ini kerana rang undang-undang itu juga akan memberi kesan kepada undang-undang persekutuan.

"Ia bukan satu akta hudud, tetapi (ia adalah) untuk memberikan lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah. Walaupun jika (akta) telah dipinda, hudud masih tidak boleh dikuatkuasakan sepenuhnya," katanya.

Mesyuarat Parlimen kedua untuk tahun ini akan berlangsung dari 16 Mei hingga 26 Mei depan.

Tahun lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan rang undang-undang persendirian mengenainya sebanyak dua kali dalam usaha untuk meningkatkan kuasa mahkamah Syariah.

Namun ia tidak berjaya dibahaskan kerana Parlimen terpaksa memberi laluan kepada usul kerajaan.

Tags / Kata Kunci: RUU Hudud , Takiyuddin Hassan , PAS , Hudud

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan