PAS, Ikatan Bentuk Pakatan Baharu Pembangkang

Diterbitkan: Rabu, 16 Mac 2016 4:05 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) secara rasminya memeterai perjanjian untuk bekerjasama dalam politik dan bertindak sebagai pembangkang dengan menasihati kerajaan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media bersama berkata, pakatan baharu pembangkang itu akan memberi tumpuan kepada kuasa rakyat dan mendukung Perlembagaan.

Beliau berkata, pakatan itu akan mengambil pendekatan sederhana untuk membangkang kerajaan.

"Kami tidak mahu menjadi pembangkang yang ekstrim dan menentang kerajaan.

"Kami mahu menjadi pakatan yang membangkang kerajaan dengan menasihati mereka. Kami akan tetap memuji kerajaan jika apa yang dilakukan membawa kebaikan kepada rakyat," kata Hadi.

Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, Ikatan bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS kerana ia bukan parti yang ekstrim.

"PAS mengamalkan Islam dan Islam mengajar pengikutnya supaya menghormati kepercayaan lain. Apabila kita tahu apa itu Islam, kita tahu PAS baik untuk semua," katanya.

Kadir berkata, pakatan baharu itu yang dilihat sebagai  blok politik ketiga dalam senario politik tempatan akan berhubung dengan kerajaan dalam menangani rungutan rakyat terutama dalam hal berkaitan sosio-ekonomi.

Mengenai sama ada kerjasama itu sebagai isyarat perjanjian Ikatan kepada agenda negara Islam PAS, Kadir berkata, banyak perkara dalam Islam yang boleh diberi tumpuan dan adalah lebih baik jika pelaksanaannya ditangguhkan.

"Pada akhirnya, rakyat yang akan membuat keputusan. Islam juga mengajar pengikutnya bagaimana untuk menangani kemiskinan dan penyalahgunaan dadah misalnya," katanya.

Kedua-dua parti terlibat menandatangani memorandum persefahaman berkaitan kerjasama dalam bidang politik.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, blok baharu yang diketuai PAS itu melibatkan parti politik, badan bukan kerajaan dengan struktur yang lebih kemas.

"Adalah diharapkan kumpulan baharu ini akan membawa model politik matang yang telus, bertanggungjawab dan bersih.

Selain itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua parti tidak membuat sebarang keputusan.

"Sekretariat telah ditubuhkan merangkumi setiausaha agung, ketua penerangan, ketua pemuda dan wanita serta pengarah pilihan raya selain lima ahli jawatankuasa," katanya.

Tags / Kata Kunci: PAS , Ikatan , Abdul Kadir Sheikh Fadzir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan