The Malaysian Insider Tamat Operasi Tengah Malam Ini

Diterbitkan: Isnin, 14 Mac 2016 12:30 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Portal berita The Malaysian Insider (TMI) akan menamatkan operasi pada tengah malam Isnin, 14 Mac.

Ketua Eksekutif TMI, Jahabar Sadiq berkata penutupan portal milik The Edge Media Group itu dibuat atas alasan komersial.

"Selamat tinggal semua pembaca yang jauh dan dekat dan kepada mereka yang membaca kami di Malaysia meskipun mendapat sekatan daripada kerajaan.

"The Edge Media Group membuat keputusan menutup The Malaysian Insider bermula tengah malam hari ini, atas alasan komersial. Mungkin ini masa yang sesuai kami bersiaran secara offline bermula bulan ini," katanya menerusi cacatan di laman web TMI.

Menurut Jahabar, sejak mula beroperasi pada 2008, portal berkenaan memberikan laporan yang tidak berat sebelah kepada pembacanya.

"Saya berharap kami sudah memberikan khidmat terbaik kepada anda sejak hari pertama penerbitan langsung kami pada 25 Februari, 2008. Dan saya berharap yang lain akan terus memberikan perkhidmatan kepada anda ketika ketiadaan kami.

"Kami bekerja sebagai wartawan yang tidak berat sebelah untuk memberi maklumat kepada rakyat Malaysia dan pembaca lain supaya mereka boleh membuat keputusan yang baik. Kami bekerja untuk membolehkan suara semua pihak didengar," katanya.

Selain itu menerusi cacatan berkenaan Jahabar turut berterima kasih kepada pembaca mereka sepanjang beroperasi selama lapan tahun dan 18 hari.

"Semuanya sudah diluahkan, saya mengucapkan terima kasih kepada setiap daripada anda di Malaysia, seluruh dunia dan kepada mereka yang bersama dengan The Malaysian Insider dari hari pertama hingga kini atas segala sokongan, ucapan dan kritikan sepanjang 8 tahun dan 18 hari yang hebat untuk The Malaysian Insider.

"Saya tidak akan berhenti menulis, saya tidak akan berhenti merakamkan gambar, saya tidak akan diam dan saya tidak akan pejam mata atau memekakkan telinga terhadap apa yang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia. Dan saya minta anda buat perkara yang sama," katanya.

Pada 25 Februari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat laman web TMI atas alasan melanggar undang-undang negara.

Menurut maklumat SKMM, laman itu disekat bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana didakwa melanggar peruntukan seksyen 233 akta yang sama, tetapi tidak menyebut kesalahan secara khusus.

Seksyen 233 adalah berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Tags / Kata Kunci: The Malaysian Insider , TMI , Jahabar Sadiq

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan