Australia 'Sangat Prihatin' Penahanan Dua Wartawan Di Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 14 Mac 2016 11:44 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan Australia 'sangat prihatin' dan telah menghubungi rakan-rakan di Malaysia berhubung penahanan dua wartawannya.

"Kami amat prihatin tentang perkara ini. Kami menyediakan sokongan konsular kepada krew  Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan pasti membangkitkan isu ini dengan peringkat yang sesuai dalam kerajaan Malaysia," kata Menteri Luar Australia, Julie Bishop, lapor The Guardian.

"Saya sentiasa mengambil berat di mana terdapat beberapa contoh tindakan keras ke atas kebebasan bersuara khususnya dalam demokrasi dan saya juga mengambil berat tentang kebebasan bahawa wartawan perlu menjalankan kerja mereka di tempat-tempat di seluruh dunia, jadi ini adalah perkara-perkara yang kita bangkitkan dengan kerajaan dari masa ke semasa dan begitu juga dengan Malaysia.

"Kami akan melakukan apa yang boleh untuk mengetahui punca isu ini dan menghantar wakil di peringkat tertinggi dalam kerajaan Malaysia," beliau dipetik sebagai berkata.

Wartawan dari rangkaian berita Australia itu ditahan di Malaysia pada malam Sabtu sebelum dibebaskan keesokan harinya selepas keterangan mereka diambil.

Wartawan Linton Besser dan pengendali kamera Louis Eroglu ditahan di Kuching apabila mereka cuba untuk menemubual Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Dev Kumar berkata, dua warga Australia itu tidak mematuhi arahan polis untuk tidak melintasi garis keselamatan pada majlis itu.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka.

Menurut laman web ABC, Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia sedang berhubung dengan kedua-dua wartawan itu dan mereka mendapat sokongan konsular.

Kedua-dua mereka diberitahu bahawa mereka perlu berada di Malaysia sehingga Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan jika mereka perlu berdepan pertuduhan. Beliau dijangka membuat keputusan sebelum Rabu.

ABC melaporkan bahawa pengarah beritanya, Gaven Morris telah menafikan dakwaan bahawa wartawannya telah bertindak melanggar undang-undang apabila mereka cuba untuk menemubual Najib.

"Saya boleh memberitahu anda bahawa wartawan kami pada bila-bila masa tidak pernah menghalang atau berhasrat untuk menghalang mana-mana penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka.

"Mereka tidak melihat garis polis dan tidak percaya mereka melintasinya," kata Morris dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kedua-dua mereka telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sebelum dan selepas mereka ditangkap.

Besser dan Eroglu adalah sebahagian daripada kakitangan ABC Four Corners, sebuah program hal ehwal semasa Australia.

Kedua-dua mereka pada petang Sabtu menghadiri sidang akhbar di sini yang dianjurkan oleh Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia (Minda) sebelum terbang ke Kuching.

Dalam sidang akhbar yang penuh dramatik itu, balu kepada penyiasat persendirian mendiang P. Balasubramaniam memohon maaf kepada Perdana Menteri dan keluarganya kerana menuduh mereka membunuh suaminya tetapi kemudiannya menarik balik kenyataannya.

Balasubramaniam adalah penyiasat persendirian semasa pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Besser adalah seorang wartawan yang memenangi pelbagai anugerah dan pakar dalam kewartawanan penyiasatan. Beliau terkenal dengan laporan-laporan pendedahan skandal dan rasuah.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan