Kelantan Kaji Cadangan Laksana Hukuman Sebat Di Tempat Awam

Diterbitkan: Rabu, 9 Mac 2016 6:28 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KOTA BARU: Kerajaan Kelantan akan mengkaji cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah zina dilakukan di tempat awam bagi memberi pengajaran kepada pesalah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, cadangan yang dikemukakan Datuk Hassan Mahamood (PAS-Tawang) adalah baik kerana ia mampu menakutkan masyarakat daripada melakukan perbuatan itu.

"Kita telah melaksanakan hukuman rotan ini namun ia dilakukan di penjara sahaja dengan maksimum enam sebatan. Boleh jadi kalau diadakan di hadapan orang ramai, ia boleh menggerunkan mereka untuk melakukan kesalahan berkenaan.

"Apapun kerajaan (negeri) akan melakukan kajian tentang perkara ini terlebih dahulu," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang bermula Isnin lalu dan berakhir pada Rabu.

Hassan ketika membahaskan titah Sultan Muhammad V pada Selasa mencadangkan agar kerajaan negeri melaksanakan hukuman itu di tempat awam bagi memberi pengajaran kepada pesalah zina.

Mohd Nassuruddin berkata pada masa ini, hukuman sedia ada bagi pesalah zina di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah penjara tidak lebih tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan yang dilaksanakan di lokap pesalah. 

Beliau berkata, langkah sebat di tempat awam boleh dilaksanakan selepas kerajaan Kelantan mengasingkan Jabatan Pendakwaan Syariah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam tahun lepas, sekaligus memudahkan kerajaan negeri membuat sebarang keputusan selepas melakukan kajian berhubung hukuman sebat.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hukuman itu bukan  termasuk di bawah undang-undang Islam hudud kerana Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen belum dipinda.

"Ini belum hudud lagi sebab hanya melibatkan enam sebatan sahaja dan masih belum memenuhi (kriteria hudud), tapi ada cadangan supaya ia dibuat di tempat awam.

"Tapi kerajaan negeri belum ada keputusan lagi (berhubung perkara itu). Ada banyak aspek yang akan dibincangkan sebelum melaksanakannya. Kerajaan (negeri) kena bincang dulu di peringkat exco," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN ditangguhkan.

Pada Mac tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu. - Bernama

Tags / Kata Kunci: sebat , Mohd Nassuruddin Daud

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan